2,000 penduduk, 500 rumah terlibat banjir di Balik Pulau

2,000 penduduk, 500 rumah terlibat banjir di Balik Pulau

BALIK PULAU,. Lebih 500 buah rumah membabitkan 2,000 penduduk di Parlimen Balik Pulau, di sini dilanda banjir semalam selepas hujan lebat lebih lima jam di kawasan berkenaan dan keadaan itu diburukkan lagi dengan air laut pasang.

Antara lokasi terjejas teruk adalah Kampung Masjid dan Kampung Suluo di Teluk Kumbar iaitu membabitkan kira-kira 300 buah rumah dengan 1,500 penduduk di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Al Barakah Majis Maqbul, Teluk Kumbar telah ditutup tengah hari ini, selepas tiga keluarga membabitkan 12 orang mangsa dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaan air kembali surut.

“Banyak mangsa banjir tidak berpindah kerana menjelang malam tadi air yang memasuki rumah mereka telah surut cuma saya harap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil tindakan segera terutama bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk.

“Ketika ini saya dan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan Balik Pulau sedang membuat pemantauan dan merekodkan jumlah mangsa terlibat serta memerlukan bantuan segera. Kami juga telah menyalurkan bantuan makanan dan minuman kepada semua mangsa banjir sejak semalam,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan mangsa banjir di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Selain itu, Timbalan ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang turun melawat mangsa banjir, berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggerakkan semua agensi dan jabatan bagi bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku lagi banjir berikutan ramalan cuaca hujan akan melanda negeri itu hari ini dan esok.

Beliau juga telah meminta Ahli Parlimen dan Adun di kawasan terlibat untuk mengumpul maklumat serta jumlah mangsa supaya pihak kerajaan negeri dapat menilai dan menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Saya yang turut meninjau rumah-rumah mangsa terlibat menzahirkan simpati kerana air banjir dengan selut masuk ke rumah malah ada dalam kalangan mangsa, peralatan serta barangan elektik mengalami kerosakan, kami di pihak kerajaan negeri akan cuba membantu mereka,” katanya.

Tinjuan Bernama juga mendapati, semua mangsa banjir sibuk mengemas dan mencuci rumah mereka dan memaklumkan kejadian itu adalah antara terburuk sepanjang tempoh 10 tahun lepas.

Semalam, hujan lebat berterusan lebih lima jam telah menyebabkan ratusan rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang iaitu di dalam kawasan Parlimen Balik Pulau dilanda banjir menyebabkan kediaman mereka ditenggelami air hingga setengah meter dan beberapa jalan raya terutama di Pulau Betong, Balik Pulau tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata sehingga 2 petang ini, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi menempatkan sembilan keluarga membabitkan 35 orang berbanding empat keluarga dengan 11 orang tengah malam tadi.

Katanya, PPS Dewan Jawatankuasa Kecil dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kechil pula yang sebelum ini menempatkan satu keluarga terdiri daripada sembilan orang termasuk tiga kanak-kanak telah ditutup selepas air telah surut di kawasan rumah mereka.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )