AFC dan Sportradar teruskan kerjasama perangi mengatur perlawanan

AFC dan Sportradar teruskan kerjasama perangi mengatur perlawanan

KUALA LUMPUR,. Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Sportradar, penyedia solusi integriti sukan utama dunia, meneruskan kerjasama mereka sehingga Piala Asia 2023, China.

Perjanjian antara dua badan itu membolehkan Sportradar meneruskan sokongan mereka kepada Unit Integriti AFC dalam Penyiasatan dan Risikan (I&I) untuk empat tahun lagi, yang telah terbukti penting dalam usaha menghapuskan kegiatan mengatur perlawanan di rantau ini.

Keupayaan risikan Sportradar yang sentiasa berkembang itu juga, akan membolehkan AFC menggunakan kepakaran mereka dalam anti-doping, penipuan umur, keselamatan stadium dan isu pematuhan dalam tahun-tahun yang akan datang.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalida bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sportradar Carsten Koerl di majlis menandatangani perjanjian itu berkata, melalui kerjasama itu, bola sepak Asia mempunyai satu tahap perlindungan integriti yang akan memberikan faedah kepada peminat setia sukan itu, di seluruh rantau ini.

“Sportradar telah menjadi rakan kerjasama yang dipercayai dan dihargai, dan kami amat bangga dengan apa yang telah kami capai bersama, bagi membantu menjaga integriti bola sepak Asia. Bagaimanapun, kami tidak boleh leka, sebab itulah kerjasama ini telah berkembang dari semasa ke semasa dengan memasukkan pengesanan, penjagaan, pencegahan dan cara pelapuran,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerjasama yang mengagumkan sejak 2013 itu, telah diertikan dengan tindakan mengenal pasti dan tindakan keras terhadap pengatur perlawanan, yang telah menjadikan Unit Integriti AFC, salah satu pendahulu dalam integriti sukan, yang membawa kepada penurunan isu mengatur perlawanan, selepas kejayaan pendakwaan beberapa kes penting.

AFC seterusnya menjelaskan, sikap tidak bertoleransi mereka terhadap mengatur perlawanan telah membolehkan satu pendekatan keterangan yang kuat, dalam menangani mengatur perlawanan di rantau ini, dengan tindakan tegas Unit Integriti AFC pada 2019 yang menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup ke atas empat pemain Asia Tengah, yang didapati mengatur perlawanan, dalam kejohanan AFC pada tahun 2017 dan 2018.

Carsten berkata, Sportradar komited dalam meningkatkan lagi servis integritinya dan telah membuat pelaburan dalam risikan, penyiasatan dan khidmat anti-doping, bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan kekal berstandard emas, dalam integriti.

“Kerjasama kami yang bercirikan tindakan dan inovasi dalam usaha memerangi mengatur perlawanan dan kerjasama yang kuat, telah menjadi keutamaan. Dari hari pertama, AFC telah berusaha menjadikan integriti keutamaan mereka dan ini telah membawa kepada banyak keputusan positif, termasuk penurunan dengan banyak, dalam kes mengatur perlawanan di seluruh Asia,” katanya.

Digerakkan oleh pasukan antarabangsa Sportradar dengan lebih 100 pakar integirti dan disokong secara langsung oleh lebih 20 penganalisis dan penyiasat di hab integriti di Manila, Sydney dan Singapura, Unit Integriti AFC telah memastikan ia mengawal kesemua isu berkaitan integriti di rantau ini.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )