Arca pasir seberat dua tan hargai jasa barisan hadapan

Arca pasir seberat dua tan hargai jasa barisan hadapan

LANGKAWI,. Jasa wira barisan hadapan negara terus diberi penghormatan apabila sebuah dekorasi seni arca pasir simbolik kepada pengorbanan mereka yang bekerja tanpa henti sejak negara dilanda pandemik COVID-19, dibina di Terminal Feri Penumpang, Kuah di sini.

Seni arca pasir berukuran 3.048 meter panjang (10 kaki) dan 1.6764 meter tinggi (5.5 kaki) itu menggunakan 2,000 kilogram (kg) pasir bersama ucapan ‘Thank You Frontliners’ dibina oleh artis visual yang juga satu-satunya pengarca pasir negara yang aktif, Mohammad Ikhwan Ibrahim.

Mohammad Ikhwan, 30, berkata dekorasi arca pasir satu-satunya di negara ini itu menampilkan empat figura mewakili wira barisan hadapan iaitu penghantar makanan, polis (petugas badan beruniform), Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (pemimpin barisan hadapan) dan jururawat (petugas kesihatan).

“Dekorasi seni arca pasir ini dibina sebagai penghargaan dan sokongan kepada wira barisan hadapan yang tidak mengenal erti putus asa menjaga rakyat Malaysia dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Projek ini menggunakan 2,000 kg pasir sungai sudah bermula sejak 22 Disember lepas mengambil masa 15 hari untuk disiapkan. Dekorasi seni arca pasir ini akan berada di lokasi ini selama sebulan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Dikenali sebagai ‘Ikhwan Saloot’, graduan Sarjana Sains Senibina Landskap dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini berkata dekorasi menggunakan pasir sungai lebih mudah berbanding pasir pantai.

“Projek kali ini lebih mudah dibentuk kerana menggunakan pasir sungai. Dekorasi seni arca pasir ini boleh bertahan sehingga tiga bulan sebelum mulai pudar termasuk tekstur terhakis, oleh itu saya jangka sebulan untuk pameran merupakan tempoh yang sangat sesuai,” katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi (NAG Langkawi) Mohd Fairus Ismail berkata projek tersebut dijayakan melalui Tabung Bantuan Seni kepada artis seni yang memohon.

“Projek ini melibatkan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Laut Malaysia sebagai pemilik lokasi ini serta NAG Langkawi bertindak sebagai pengelola.

“Dekorasi seni arca pasir ini sangat unik kerana kebiasaannya dilakukan di pantai, namun projek ini dibawa ke kawasan indoor, itu cabaran kepada artis visual terlibat namun tidak menjadi masalah kerana beliau sangat berpengalaman,” katanya.

— Bernama

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )