Arsenal di petak depan dapatkan Willian

LONDON,. Arsenal dilaporkan mendahului perlumbaan bagi mendapatkan pemain sayap Chelsea, Willian menerusi perjanjian pra-kontrak.

Pemain Brazil itu akan tamat kontrak pada penghujung musim ini dan perjanjian baharu di Stamford Bridge gagal mencapai persetujuan bulan lalu.

Chelsea berminat mengekalkan Willian tetapi pemain itu mahukan perjanjian lebih lama berbanding sambungan kontrak 12 bulan ditawarkan skuad Blues.

Willian gembira di London sambil menggambarkan ibu kota itu sebagai ‘tempat asalnya’ yang menarik minat Arsenal untuk cuba mendapatkan pemain dengan harga lebih murah musim panas ini berikutan impak kewangan akibat COVID-19.

Menurut wakil ESPN, Jorge Nicola, ejen Willian percaya Arsenal menjadi destinasi pilihan buat pemain itu dan meletakkan Gunners sebagai pilihan utama kelab yang berminat.

Willian turut dikaitkan dengan Liverpool, Dortmund dan Paris Saint-Germain namun menyertai Arsenal membolehkannya terus kekal di London.

“Arsenal kini sedikit di depan, tapi semuanya masih terbuka,” kata Nicola. “Terutama kerana kesan pandemik terhadap keseluruhan kewangan bola sepak di dunia.”

Difahamkan hubungan rapat Willian dengan David Luiz akan menjadi faktor utama pemain sayap itu akan membuat keputusannya ketika Gunners sanggup menawarkan kontrak selama dua atau tiga tahun. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )