Asean Makerthon 2019 guna rangkaian 5G tertutup

KUALA LUMPUR,. ASEAN Makerthon 2019 menjadi acara unik setelah buat pertama kalinya dijalankan menggunakan rangkaian 5G tertutup.

Acara tiga hari yang bermula hari ini hingga 4 Dis, memberikan platform kepada peserta untuk mempamerkan kemahiran, idea serta kreativiti mereka dalam menghasilkan prototaip fizikal sejajar dengan temanya ‘Impak Revolusi 5G Ke Arah Revolusi Industri 4.0’.

Selain itu, ia juga satu platform kepada peserta untuk mendapatkan pengalaman dengan membangunkan penyelesaian inovatif yang menonjolkan manfaat rangkaian 5G.

Ia dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama ARM, Celcom Axiata Berhad, Ericsson Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Tahun ini, perbezaan ketara ialah kita mempunyai perkhidmatan dan infrastruktur 5G untuk menyokong Makerthon dan kami berharap dapat melihat kerjasama lebih lanjut mengenai teknologi 5G pada masa akan datang,” kata Ketua Pegawai Korporat MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus selepas melancarkan ASEAN Makerthon 2019 di sini hari ini.

Bertempat di Pusat Inovasi 5G (IC5G) UTM-Ericsson di Kampus UTM Kuala Lumpur, pertandingan itu terbuka kepada anggota ASEAN serta Rakan Dialog ASEAN TELSOM seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Hasil prototaip peserta akan dinilai oleh sekumpulan panel hakim terdiri daripada syarikat atau institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Revolusi Industri 5G dan Internet of Things (IoT), berpandukan kepada empat kriteria utama iaitu idea yang diketengahkan, prototaip, model perniagaan dan pembentangan.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, juara acara ini akan membawa pulang wang tunai US$5,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak US$3,000 dan US$1,000.

Kali terakhir ASEAN Makerthon diadakan pada 2017.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )