Bayern terbaik di Jerman

BERLIN,. Robert Lewandowski berkata Bayern Munich membuktikan mereka adalah kelab terbaik di Jerman selepas mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut Bundesliga awal pagi ini ketika jaringan penyerang Poland itu pada babak pertama memberikan kemenangan 1-0 di Werder Bremen.

Bayern disahkan juara Jerman buat kali ke-30 dalam sejarah kelab seterusnya mengekalkan cengkaman mereka di Bundesliga.

“Kami sudah menunjukkan bahawa kami adalah pasukan terbaik di Jerman,” kata Lewandowski.

Jaringan Lewandowski hadir dua minit sebelum rehat namun Bayern perlu menghadapi cabaran pada 11 minit terakhir selepas pertahanan kiri Alphonso Davies dibuang padang kerana kad kuning kedua.

Ia juga adalah jaringan ke-31 penyerang Poland itu dalam liga musim ini, jumlah terbaik dalam kariernya seterusnya di landasan tepat untuk dinamakan sebagai penjaring terbanyak liga buat kali kelima.

Ketua jurulatih, Hansi Flick menerima gelaran Bundesliga pertama dalam musim sulungnya selepas menggantikan Niko Kovac November lalu.

Perintah berkurung akibat COVID-19 tidak berupaya menyekat rentak Bayern dengan skuad juara itu menang lapan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak bola sepak Jerman disambung bulan lalu.

Flick yang juga penolong jurulatih ketika Jerman menang Piala Dunia 2014, boleh mencipta trebel ketika Bayern akan berdepan Bayer Leverkusen pada final Piala Jerman 4 Julai ini.

Mereka juga memiliki kelebihan 3-0 pada perlawanan pertama berdepan Chelsea pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )