Beberapa muka baharu tarik perhatian

Beberapa muka baharu tarik perhatian

PUTRAJAYA,. Beberapa muka baharu berjaya menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk dipilih mewakili skuad Harimau Malaya.

Malaysia bakal menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

Tanpa mendedahkan pemain-pemain berkenaan, Cheng Hoe berkata penelitian itu dibuat setelah pihaknya membuat senarai pendek terhadap 38 pemain untuk persiapan menghadapi cabaran di UAE nanti.

“Kita akan pantau prestasi mereka dalam saingan liga terlebih dahulu.

“Terdapat juga beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan tidak beraksi dalam Liga Super, jadi saya harapkan mereka dapat segera pulih supaya dapat bersedia selain berharap tiada lagi pemain mengalami kecederaan selepas ini bagi menghadapi saingan di UAE,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Seri Seroja di sini.

Antara muka baharu yang dipanggil menjalani latihan skuad negara kali ini, adalah penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin dan bintang meningkat naik Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah Usman.

Saingan lebih mencabar pastinya menanti barisan pemain untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan hanya 26 atau 27 pemain akan terpilih dalam senarai akhir sebelum berlepas ke UAE dijadualkan pada 20 Mei depan.

Terdahulu, skuad kebangsaan akan dihimpunkan untuk menjalani kem latihan pusat pada 16 Mei sebelum beraksi dalam dua perlawanan persahatan menentang Kuwait yang dijangka pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei).

Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, diikuti berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G untuk memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

— Bernama

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )