Boeing sasar terbitkan bon, tolak bantuan kerajaan

Boeing sasar terbitkan bon, tolak bantuan kerajaan

NEW YORK,. Boeing tidak merancang untuk mendapatkan sokongan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas menerima minat yang kukuh daripada pasaran bon bagi tawaran awam AS$25 bilion (RM107.45 bilion).

Gergasi penerbangan itu, yang terjejas teruk oleh impak penutupan COVID-19 terhadap syarikat penerbangan global berkata, permintaan bagi tawaran bon itu adalah ‘mantap’.

“Kami tidak bercadang mendapatkan pembiayaan tambahan melalui pasaran modal atau kerajaan AS buat masa ini,” menurut kenyataan syarikat itu, sambil menambah bahawa ia menjangkakan tawaran bon akan diselesaikan pada 4 Mei.

Tawaran termasuk tujuh ‘tranche’ bon yang luput antara 2023 hingga 2060.

Satu pemfailan kepada sekuriti tidak menyenaraikan kadar faedah nota berkenaan.

Pengumuman dibuat sehari selepas Boeing melaporkan kerugian AS$641 juta (RM2.75 bilion) pada suku pertama dan akan mengurangkan 10 peratus kakitangannya sebagai tindak balas terhadap krisis dalam industri penerbangan disebabkan oleh penutupan COVID-19.

S&P menurunkan penarafan kredit Boeing susulan keputusan kewangan itu, yang turut menunjukkan kesan sekatan ke atas pesawat 737 MAX berikutan dua nahas udara.

Bagaimanapun, penarafan kredit Boeing kekal dalam gred pelaburan S&P.

Akta CARES, pakej bantuan AS bernilai AS$2 trilion (RM8.5 trilion) yang diluluskan pada Mac, termasuk bantuan AS$17 bilion (RM73 bilion) dikhususkan kepada Boeing.

Ia sebahagian siri langkah bantuan Washington bagi menyokong ekonomi AS ketika pengangguran melonjak disebabkan oleh penularan virus.

Pegawai syarikat berkata, mereka sedang meneroka pasaran swasta selain daripada bantuan Akta CARES.

Perbendaharaan AS telah mengarahkan syarikat supaya membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan dana kerajaan itu sehingga semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dave Calhoun, minggu ini berkata bahawa Akta CARES telah menambah syarat dalam pasaran kredit persendirian, perkara yang ditekankan oleh syarikat itu dalam kenyataannya.

-AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )