Bung Mahu Umno Terus Diperkasa Agar Kekal Relevan

Bung Mahu Umno Terus Diperkasa Agar Kekal Relevan

KENINGAU: UMNO perlu mempertahankan institusi parti dengan mengutamakan kesatuan serta solidariti jika mahu mendepani cabaran semasa.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Umno perlu terus diperkasa sebagai sebuah parti yang memberi perlindungan dan juga payung kepada bangsa Melayu serta bumiputera demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

Beliau berkata, parti itu tidak harus dilihat sebagai sebuah parti yang eksklusif hanya untuk menguatkan individu tertentu memandangkan kekuatan parti itu terletak atas dasar sokongan akar umbi.

“Ini penting bagi kita supaya parti keramat yang menjangkau usia 74 tahun ini akan terus mendapat tempat dan sokongan daripada akar umbi, khususnya golongan muda yang menjadi pelapis kepada barisan pimpinan pada masa ini,” katanya ketika menyampaikan amanat semasa perjumpaan bersama ahli jawatankuasa Umno Bahagian Keningau, baru baru ini.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri ini berkata, keyakinan rakyat harus segera dipulihakan bagi memastikan Umno terus relevan juga sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang akan datang.

“Umno khususanya di Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan selepas tsunami PRU-14, sehingga ada pemimpin dan ahli yang ‘cuak’, gelabah’ dan tidak tahan diuji Bertindak keluar parti.

“Bagaimanapun berbekalkan prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada parti, kita hadapinya bersama dan semangat itu telah dibukitikan pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis sehinggalah ke pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke 16.

“Umno Sabah telah membuktikan ianya masih relevan dan memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan GRS” jelasnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah ini meminta agar semua bahagian Umno di negeri ini menyusun gerak kerja dengan memperkasakan parti di semua peringkat terutamanya dalam menghadapi PRU-15 akan datang.

” Apa bila kita kuat, gerak kerja kita tersusun dalam mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi, kita akan menjadi sebuah organisasi yang meyakinkan,” tambahnya.

Hadir sama adalah Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Keningau Salbiah Suhaimi, Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Dr Fadilah Sabri, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Keningau Hajin Sujari dan Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Keningau Siti Norzati Kamilah Sairin.

-BorneoToday

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )