Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah

Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka mendatar pada pagi urus niaga Jumaat, mengambil petunjuk daripada kelemahan semalaman prestasi di Wall Street.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.77 mata atau 0.05 peratus kepada 1,580.77 daripada 1,581.54 pada penutupan petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.57 mata lebih rendah kepada 1,580.97.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 567 berbalas 118 sementra 261 kaunter tidak berubah, 1,253 tidak diniagakan dan 76 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 578.86 juta bernilai RM306.45 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd dalam satu catatan berkata, kebimbangan mengenai kenaikan kadar yang tinggi kembali menghantui peniaga dengan perolehan Perbendaharaan bertempoh matang 10 tahun AS meningkat 1.6 peratus, mendorong penjualan semalaman di Wall Street.

“Kami menjangkakan prestasi yang lesu hari ini seiring dengan pasaran serantau dan oleh itu, kami percaya indeks penanda aras akan berlegar sekitar 1,580 ke 1,585 mata,” katanya.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd percaya pasaran menaruh harapan kepada kemajuan vaksinasi COVID-19 dan diunjur diniagakan secara menaik dengan tumpuan kepada saham bertemakan pemulihan seperti sektor penerbangan, pelancongan, perabot dan produk pengguna.

“Kami berpendapat indeks utama akan diniagakan secara mendatar tetapi menjurus kepada menaik sekitar paras 1,570 ke 1,620 mata dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Kedua-dua firma broker itu turut menyatakan pelabur mungkin memantau sektor perladangan, memandangkan harga minyak sawit mentah telah mengukuh melepasi paras RM3,700 satu tan manakala harga minyak mentah Brent didagangkan melebihi paras AS$65 setong.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB dan MISC masing-masing turun tujuh sen kepada RM4.26 dan RM6.70, Axiata dan Tenaga pula kedua-duanya susut enam sen kepada RM3.51 dan RM10.06, sementara Digi tidak berubah pada RM3.75.

Senarai saham paling rugi diketuai oleh MPI yang merosot RM1.10 kepada RM36.90, diikuti Carlsberg, turun 60 sen kepada RM23.36.

Unisem jatuh 34 sen kepada RM8.63, Sarawak Oil Palms 32 sen lebih rendah pada RM3.82 dan KESM berkurangan 28 sen kepada RM15.62.

Saham-saham paling cergas pula menyaksikan MSM meningkat 13.5 sen kepada 99 sen, Lion Industries turun 6.5 sen kepada 90.5 sen, Dagang Nexchange lebih rendah satu sen kepada 70.5 sen sementara warannya tidak berubah pada 35 sen dan waran EA Holdings kekal pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 42.90 mata kepada 11,632.94, Indeks FBMT 100 susut 31.0 mata kepada 11,321.78 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 88.44 mata pada 12,993.21.

FBM 70 menyusut 140.04 mata kepada 15,481.32 dan FBM ACE berkurangan 176.83 mata kepada 10,786.37.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.49 mata kepada 186.08 dan Indeks Perladangan merosot 17.43 mata kepada 7,195.60.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 49.43 mata kepada 15,035.22.

-BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )