Bursa Malaysia dibuka tidak menentu

Bursa Malaysia dibuka tidak menentu

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia didagang secara tidak menentu meskipun pada mulanya, didorong oleh aktiviti pembelian saham berharga rendah bagi kaunter terpilih yang berlanjutan sejak semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.66 mata kepada 1,521.22 berbanding 1,519.56 pada akhir dagangan Selasa.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks penanda aras tersebut naik 1.21 mata kepada 1,520.77.

Di pasaran meluas, kaunter untung dan rugi adalah setara pada 161 manakala 295 kaunter lain tidak berubah, 1,610 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 453.91 juta unit bernilai RM165.38 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata minat belian tersebut bagaimanapun dijangka lebih terbatas berikutan kebimbangan terhadap lonjakan kes harian COVID-19 negara ini yang mencecah paras tertinggi baharu apabila lebih banyak kes varian Delta dikesan.

Dalam pada itu, firma pembrokeran itu berkata pihak Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata pasaran minyak juga dijangka lebih terhad apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) dikatakan akan mengekalkan paras pengeluaran walaupun permintaan global meningkat akibat pertumbuhan ekonomi serta kadar pemberian vaksinasi yang dijalankan.

Harga minyak mentah melepasi paras AS$75 setong manakala minyak sawit mentah (MSM) diniagakan hampir RM4,000 satu tan.

“Memandangkan harga minyak global itu kekal melebihi US$76 setong, kami menjangkakan minat belian ketara akan membabitkan kaunter saham minyak dan gas.

“Peniaga juga dijangka menumpukan kaunter sarung tangan bagi dagangan jangka pendek susulan peningkatan kes COVID-19 tempatan. Selain itu, minat terhadap saham teknologi juga dijangka berlaku pada masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dari segi prospek teknikal, ia berkata FBM KLCI dijangka mendapat sokongan melepasi paras 1,500 manakala paras rintangan pada 1,525 hingga 1,548.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan TNB masing-masing naik satu sen kepada RM8.07 dan RM9.67, Public Bank dan CIMB menokok dua sen kepada RM4.10 dan RM4.52 manakala Petronas Chemicals dan IHH tidak berubah pada RM8.10 dan RM5.64.

Bagi kaunter paling aktif, Lambo tidak berubah pada satu sen, Pelikan naik satu sen kepada 49 sen manakala Pasukhas meningkat empat sen kepada 37 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.46 mata kepada 11,062.95, Indeks FBMT 100 meningkat 7.92 mata kepada 10,781.08 dan Indeks Syariah FBM Emas menambah 0.87 mata kepada 12,097.47.

FBM ACE naik 42.25 mata kepada 7,115.53 namun FBM 70 turun 4.63 mata kepada 14,302.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 36.51 mata kepada 14,972.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 187.09 manakala Indeks Perladangan turun 14.06 mata kepada 6,228.07.

– Bernama

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )