Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meneruskan momentum memberangsangkan semalam dengan dibuka tinggi pagi ini, dipacu oleh prestasi menggalakkan di hampir kesemua indeks.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.27 mata kepada 1,514.70 daripada 1,512.43 ketika ditutup semalam.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 272 berbalas 114 manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,443 tidak diniagakan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 313.40 juta unit bernilai RM209.83 juta.

Malacca Securities dalam nota ekuitinya hari ini berkata dengan bursa tempatan bertukar kepada trend sedikit rancak di celah-celah kebangkitan semula momentum belian untuk kaunter berwajaran tinggi sarung tangan ekoran melonjaknya kes COVID-19, pergerakan FBM KLCI kini akan ditentukan oleh kaunter berwajaran tinggi sarung tangan.

“Dalam pada itu, pihak berkuasa kerajaan telah menafikan desas-desus berkenaan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Begitu juga, saham berharga murah dan pasaran lebih meluas kini dalam mod pemulihan dengan para pelabur mengambil kesempatan di atas aktiviti urus niaga yang kian rancak,” katanya.

Ia menambah indeks utama juga telah meningkat dan seterusnya berlegar dalam zon positif.

“Kami percaya momentum belian jangka pendek boleh mendorong bursa tempatan bergerak ke arah paras halangan segera 1,520 dan diikuti dengan paras 1,540. Sementara itu, paras sokongan akan kekal pada 1,480, diikuti dengan1,450. Indeks berada di bawah kedudukan terlebih jual dengan RSI kekal di bawah paras 50,” tambahnya.

Dalam kalangan prestasi saham berwajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM10.50, Maybank meningkat lima sen kepada RM7.17, Dialog mengukuh tujuh sen kepada RM3.87, Petronas Chemical bertambah tiga sen kepada RM5.93 dan Sime Darby lebih tinggi dua sen kepada RM2.32.

Kaunter paling untung pula, peserta teknologi menguasai carta dengan Malaysia Pacific melonjak 26 sen kepada RM19.86, JF Technologies meningkat 14 sen kepada RM3.97 dan UWC bertambah 11 sen kepada RM6.59.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.83 mata kepada 10,948.68 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.08 mata kepada 13,106.10.

FBM 70 menokok 39.46 mata kepada 14,420.30, Indeks FBMT 100 meningkat 19.58 mata kepada 10,768.72 dan FBM ACE mengukuh 34.13 mata pada 10,292.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.87 mata kepada 12,434.66, Indeks Perladangan turun 20.26 mata kepada 6,975.78 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.51 mata pada 140.50.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )