Cheng Hoe tumpu baiki ketumpulan skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR,. Keyakinan diri setiap pemain menjadi elemen utama bagi memastikan skuad Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Khamis ini.

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe berkata pasukan itu perlu bangkit memperbaiki segala kelemahan dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Kuwait dan Bahrain sebelum ini, menjelang saingan di Stadium Zabeel, Dubai.

“Kita nampak dari satu perlawanan ke satu perlawanan kelancaran pasukan dan kebolehan bermain sebagai satu pasukan sudah meningkat, tetapi sudah tentu banyak lagi perlu diperbaiki seperti dari segi hantaran bola dan dari sudut membuat keputusan ketika bertahan mahupun menyerang,” katanya pada sidang media secara dalam talian, dari Manama, Bahrain pada Ahad.

Malaysia tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai, Ahad lepas, sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, semalam.

Berbaki beberapa hari sebelum pertembungan itu, Cheng Hoe yang menyambut hari jadi ke-53 hari ini berkata, aspek taktikal ketika bertahan adalah sebahagian daripada tumpuan utama barisan kejurulatihan dalam usaha memperkemaskan permainan skuad itu.

Jelas beliau ia susulan kegagalan bahagian pertahanan pasukan negara mengekang asakan pihak lawan dengan baik, selain beberapa kesilapan individu yang dikesan dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

“Dua perlawanan kita mudah dibolosi, agak ketara, tapi ia berlaku disebabkan kesilapan individu dan saya rasa ia boleh diperbaiki.

“Kita harap sesiapa diturunkan dapat beri tumpuan 100 peratus dalam perlawanan menentang UAE yang cukup penting,” tambah Cheng Hoe.

Sementara itu, pemain tengah Brendan Gan menjangkakan skuad kebangsaan bakal berdepan saingan sengit dari pihak lawan yang akan membariskan beberapa pemain baharu, selain mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Brendan menggesa rakan sepasukannya agar yaikin dengan kebolehan mereka dan lebih fokus untuk meningkatkan kualiti permainan dan seterusnya membantu pasukan mencipta kejayaan dalam kempen kelayakan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Brendan tidak akan turun pada aksi bertemu UAE susulan hukuman penggantungan satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dalam kempen kelayakan itu sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )