COVID-19: Feri ke Langkawi dua perjalanan sehari

COVID-19: Feri ke Langkawi dua perjalanan sehari

ALOR SETAR,. Perkhidmatan feri antara Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Perlis-Langkawi akan dikurangkan kepada dua perjalanan berbanding 10 sebelum ini bermula Jumaat hingga 31 Mac ini.

Pengurus Sumber Manusia & Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom, berkata pengurangan perjalanan itu dilakukan berikutan arahan kerajaan menguatkuasakan perintah pergerakan bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Katanya, waktu perjalanan di semua sektor pula diselaraskan hanya pada jam 11 pagi dan 4 petang mulai Jumaat hingga 31 Mac ini atau pada tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

“Kepada penumpang yang telah membuat tempahan atas talian atau pembelian awal di kaunter boleh membuat tuntutan bayaran balik harga tiket sebelum tarikh pergerakan feri.

“Dalam masa yang sama, pihak kami juga membuat bayaran balik bagi penumpang yang membatalkan percutian mereka ke Pulau Langkawi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Baharin menafikan ramai pelancong yang masuk melalui jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Pulau Langkawi seperti tular di media sosial.

Katanya, majoriti penumpang semalam adalah penduduk asal pulau berkenaan.

“Mereka beli tiket dengan harga lebih murah sekiranya menunjukkan kad pengenalan yang beralamat di sana iaitu RM13 berbanding harga tiket biasa RM18 dari Kuala Perlis manakala dari Kuala Kedah RM20 berbanding RM23.

“Untuk membezakan pelancong dan penduduk Langkawi adalah melalui pembelian tiket, kami mempunyai data lengkap, contohnya semalam seramai 3,046 penumpang adalah penduduk pulau itu yang menaiki feri dari jeti Kuala Perlis, dari jeti Kuala Kedah pula adalah seramai 1,490,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )