COVID-19: Lapan kes direkodkan hari ini, lima penularan tempatan – KP Kesihatan

COVID-19: Lapan kes direkodkan hari ini, lima penularan tempatan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 22 Ogos — Sebanyak lapan kes baharu COVID-19 yang melibatkan lima kes penularan dalam negara dan tiga kes import dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus berkenaan sebanyak 9,257 kes dengan kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 183 kes.

Katanya tiga kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara itu melibatkan seorang rakyat Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Tiga kes import tersebut adalah dari Bangladesh (di Kuala Lumpur), Belanda (di Sarawak) dan Filipina (di Sabah).

“Kesemua lima kes penularan di dalam negara pula melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak empat kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,949 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes maut kekal 125 kes.

Sehingga kini, lapan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Memperincikan Kluster Tawar di Kedah, ketua pengarah kesihatan itu berkata dengan lima kes baharu dilaporkan bagi kluster itu menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 adalah sebanyak 63 kes.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, katanya, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini dan pengesanan kes serta saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )