FAP selesai kemelut tunggakan gaji pemain, pegawai

FAP selesai kemelut tunggakan gaji pemain, pegawai

BATU KAWAN,. Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sudah menyelesaikan kemelut gaji pemain dan pegawainya yang dilaporkan tertunggak dari April hingga Jun tahun ini, kata Presidennya Dr Amar Pritpal Abdullah.

Beliau berkata jumlah tunggakan gaji kira-kira RM12 juta itu mula dibayar kepada semua pemain dan pegawai pada pertengahan bulan ini.

Penyelesaian kemelut tersebut diharap dapat memberi motivasi dan semangat kepada skuad Harimau Kumbang untuk terus fokus kepada perlawanan Liga Premier 2020 yang seterusnya, katanya.

“Kita juga amat optimis dan positif dengan pencapaian skuad Harimau Kumbang, yang sudah memenangi dua perlawanan, dua seri dan tinggal baki tujuh perlawanan sahaja lagi.

“Jika prestasi mereka bagus, tidak mustahil pasukan Pulau Pinang akan ke Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meninjau sesi latihan pasukan bola sepak Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Chow merasmikan pembukaan trek balapan stadium berkenaan untuk aktiviti joging dan aktiviti larian yang akan dibuka kepada umum bermula 1 Ogos ini.

Sementara itu, Dr Amar berkata skuad Harimau Kumbang turut menghadapi beberapa kekangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan pemain dihadkan kepada 10 orang setiap sesi latihan di padang dan mereka terpaksa mengadakan tiga sesi.

“Ketika PKP, pasukan turut menjalani program kecergasan yang dilakukan oleh jurulatih dan kini tahap kecergasan mereka berada di tahap 80 peratus. Mereka dilihat lebih bersedia untuk mengharungi beberapa perlawanan liga pada masa akan datang dan diharap mereka dapat terus tingkatkan momentum itu,” katanya.

Pasukan itu dijadual bertandang ke Stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu untuk perlawanan pertama menentang Kelantan pada 26 Ogos ini selepas Liga Bola sepak Malaysia (MFL) mendapat kebenaran untuk menyambung semula saingan Liga Premier daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan kejohanan kontak penuh.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )