Firma guaman perdaya mangsa jual beli hartanah

Firma guaman perdaya mangsa jual beli hartanah

SEREMBAN,. Meskipun sijil amalan guaman serta firma guaman di Jalan Pasar Baru Port Dickson dekat sini, tidak lagi dibenarkan beroperasi sejak 1 Jan tahun lepas, namun pihak polis terus menerima laporan daripada mangsa yang diperdaya berhubung jual beli hartanah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata terbaharu, kira-kira pukul 12.41 tengah hari 10 Jan lepas, polis menerima satu laporan dibuat seorang kakitangan awam yang tidak puas hati terhadap firma guaman terbabit dalam urusan penjualan rumahnya di Bandar Sunggala Telok Kemang.

“Mangsa telah melantik firma guaman itu untuk urusan pembelian rumah daripada ibunya dengan harga RM80,000 dan membuat pinjaman daripada Lembaga Perumahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebanyak RM120,000 dan pinjaman itu telah diluluskan.

“Urusan pembelian ini berjaya dan nama rumah itu ditukar kepada nama mangsa. Namun, wang baki lebihan pinjaman itu masih belum diterima mangsa dan ibu mangsa sebagai penjual masih belum menerima wang hasil jualan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata sehingga kini, sebanyak empat laporan polis diterima pada tahun 2018, tujuh laporan polis pada tahun lepas dan sehingga Januari tahun ini, pihak polis telah menerima empat laporan polis melibatkan firma yang sama.

“Firma berkenaan telah pun ditutup dan sijil amalan guaman serta firma itu tidak lagi dibenarkan beroperasi sejak 1 Januari 2019. Pihak polis menasihatkan mana-mana individu yang ada berurusan dengan firma ini dan telah diperdaya supaya tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah peguam.

Dalam perkembangan lain, seorang penyelia kanan dalam bidang minyak dan gas telah membuat satu laporan polis pada 21 Jan lepas, berhubung urusan pelaburan saham atas nama Chelco Resources kerana mangsa telah diperdaya dengan nilai kerugian sebanyak RM69,410.

“Berdasarkan laporan, setelah diyakinkan akan memperoleh pulangan yang tinggi, mangsa telah mula membuat pembelian saham berdasarkan pelan-pelan yang telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.

“Pembelian saham yang telah dibuat secara keseluruhan adalah RM69,410 dalam 37 transaksi bermula November 2019 hingga Januari 2020 namun sehingga kini, mangsa hanya memperoleh pulangan RM18,319 berbanding yang dijanjikan adalah RM800,000,” katanya.

Katanya, setelah didapati tiada lagi pembayaran pulangan pelaburan yang diperoleh dan suspek yang merupakan pemilik syarikat dalam pelaburan ini telah gagal dihubungi, mangsa kemudian membuat laporan polis.

Aidi Sham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penipuan pelaburan.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )