Gagal pastikan keselamatan di tempat kerja: Tiga syarikat di Perak didenda – JKKP

Gagal pastikan keselamatan di tempat kerja: Tiga syarikat di Perak didenda – JKKP

IPOH,. Sebuah syarikat pembinaan didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerjanya ditimpa kemalangan pada tahun lepas.

Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan Seong Henng Engineering Works (M) Sdn Bhd, yang diwakili pengarah syarikatnya, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

“Hakim telah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut syarikat tersebut gagal memastikan setakat yang praktik berhubung keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja sehingga menyebabkan kemalangan yang menyaksikan seorang pekerjanya patah kaki kiri serta mendapat cuti sakit selama 29 hari.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Menurut fakta kes, mangsa yang berusia 28 tahun cedera ketika memeriksa ‘webbing sling’ sebelum digunakan bagi aktiviti kerja mengangkat ‘i-beam’ di sebuah kilang di Tasek Corporation Berhad, Lot 5, Persiaran Tasek, Kawasan Perindustrian Tasek, Ipoh pada kira-kira 2.15 petang 15 Julai tahun lepas.

Di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, sebuah syarikat pembuatan komponen automotif didenda RM10,000 susulan kemalangan yang menimpa seorang pekerjanya yang berusia 51 tahun pada 2020.

Menurut JKKP, PNA Technologies Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutif syarikatnya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

“Kemalangan itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan iaitu putus satu ruas jari telunjuk tangan kiri dan mendapat cuti sakit selama 66 hari,” menurut kenyataan itu.

Fakta kes menyebut bahawa mangsa cedera semasa aktiviti kerja pemotongan di sebuah bangunan pembuatan di Lot 4637, Kawasan Perusahaan Kampung Gajah, Simpang Ampat, Kampung Gajah pada kira-kira 10.30 pagi 13 Mei 2020.

Di mahkamah sama, sebuah syarikat pembuatan peralatan logam didenda RM6,000 kerana menyebabkan seorang pekerjanya yang berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada jari telunjuk tangan kiri pada 20 Ogos 2020.

Rubysteel Metal Industry (M) Sdn Bhd, yang diwakili pengurus gudangnya, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Norita.

Menurut fakta kes, mangsa cedera ketika melakukan aktiviti kerja penebukan lubang pada penutup cerek menggunakan mesin penghimpit di Railway Wharf, Jalan Maharajalela di Teluk Intan pada kira-kira 4.20 petang 7 Ogos 2020.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )