Gangguan seksual: MSN akan bersemuka dengan Cindy

Gangguan seksual: MSN akan bersemuka dengan Cindy

KUALA LUMPUR,. Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneliti secara terperinci berhubung isu gangguan seksual yang dikatakan dialami bekas perenang negara Cindy Ong ketika bergelar atlet negara.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata beliau sudah pun menghubungi Cindy dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersamanya dalam masa terdekat bagi melihat dengan lebih mendalam mengenai perkara itu.

“Sehingga perbincangan tersebut diadakan, pengurusan MSN berharap agar kita termasuk Cindy diberikan sedikit ruang bagi kita meneliti pendekatan terbaik menangani isu tersebut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MSN hari ini.

Sebuah portal berita pada Selasa lepas melaporkan pendedahan Cindy dan seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika bergelar perenang negara.

Perkara itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican lantas mengarahkan pegawainya dan MSN untuk menghubungi dan membantu bekas perenang negara tersebut.

Pada masa sama, dalam kenyataan itu pengurusan MSN menegaskan bahawa setiap individu yang telah dan sedang terlibat dalam program latihan persediaan atlet di bawah MSN mempunyai pelbagai saluran untuk mengemukakan sebarang aduan berkaitan salah laku atau gangguan dalam sukan.

Antara platform diwujudkan di bawah MSN adalah Jawatankuasa Perwakilan Atlet yang bermula pada 2016 yang diwakili seorang wakil atlet atau ketua pasukan daripada setiap sukan bagi mengetengahkan apa-apa perkara dan isu mahupun permasalahan.

“Sama ada dari segi kebajikan, perkhidmatan sokongan dan latihan sukan masing-masing supaya program latihan mereka berjalan lancar,” kata Ahmad Shapawi.
Sementara itu, beliau berkata Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE)-MSN.
Katanya talian careline bagi sebarang aduan yang boleh dikemukakan oleh atlet/jurulatih/pegawai sukan di bawah program MSN turut diwujudkan pengurusan MSN dan sebarang aduan boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected] atau melalui no telefon, 03 – 8992 9778 / 8992 9809.

Ahmad Shapawi berkata Suruhanjaya Atlet yang berada di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga boleh dijadikan satu daripada platform alternatif bagi atlet untuk menyuarakan sebarang permasalahan untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.

Dalam pada itu, beliau berkata pengurusan MSN telah memperhebatkan kempen kesedaran kepada atlet dan jurulatih berkaitan gangguan seksual dalam kalangan atlet atau pegawai sukan.

Beliau berkata atlet juga boleh melaporkan sebarang ketidakselesaan mereka melalui jurulatih dan pegawai sukan daripada persatuan sukan kebangsaan atau Institut Sukan Negara bagi membincangkan sebarang permasalahan berkaitan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Program (JKP) yang dilaksana secara berkala dari semasa ke semasa.

“Pengurusan MSN berharap keluarga terdekat atlet juga boleh memainkan peranan sekiranya atlet ada merasakan ketidakselesaan atau keselamatan mereka terancam. Mereka disaran melaporkan segera kepada pihak berkuasa melalui saluran undang-undang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )