Geng Nicky: Tiada laporan anggota imigresen terbabit

Geng Nicky: Tiada laporan anggota imigresen terbabit

KUALA LUMPUR,. Jabatan Imigresen setakat ini tidak menerima sebarang makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pembabitan anggota jabatan itu dengan ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini dalam senarai buruan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat pegawai dan anggota Jabatan Imigresen terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram terbesar di negara ini dijalankan Geng Nicky.

“Selalunya, jika ada tangkapan saya akan dimaklumkan dan jika ada yang terlibat kita tidak akan berkompromi. Kita sedia bekerjasama dengan PDRM untuk membantu mereka melengkapkan siasatan,” katanya selepas menyertai Op Bersepadu di Bukit Puchong di sini, awal pagi semalam.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang Geng Nicky.

Kumpulan tersebut diketuai Nicky berusia 33 tahun merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

Sementara dalam Op Bersepadu itu, seramai 43 pendatang tanpa izin terdiri daripada 33 warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh ditahan dalam serbuan bermula 12 tengah malam kelmarin di sebuah penempatan haram di sebalik belukar di Bukit Puchong.

Khairul Dzaimee berkata, penempatan haram itu dikenal pasti sebagai tempat tinggal bagi pendatang tanpa izin yang bekerja di tapak pembinaan dan kedai makan.

“Pemeriksaan mendapati penempatan ini sudah ada dipercayai antara enam hingga tujuh tahun lepas berdasarkan keadaan rumah, jalan denai dan bekalan elektrik yang dicuri melalui sambungan haram,” katanya menambah ada dalam kalangan penghuni di situ mendakwa tidak mampu membayar sewa dan hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

“Kita akan maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan penempatan ini bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 antaranya tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )