IATA rekod lonjakan dalam trafik penumpang Julai

IATA rekod lonjakan dalam trafik penumpang Julai

KUALA LUMPUR,. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan bahawa permintaan perjalanan antarabangsa dan domestik menunjukkan momentum yang signifikan pada Julai 2021 berbanding bulan sebelumnya tetapi permintaan masih jauh di bawah tahap sebelum pandemik.

Sekatan perjalanan yang diterapkan oleh kerajaan di seluruh dunia terus merencatkan pemulihan di pasaran antarabangsa.

Jumlah permintaan untuk perjalanan udara pada Julai 2021 (diukur dalam pendapatan penumpang kilometer atau RPK) turun 53.1 peratus berbanding Julai 2019.

Ini adalah peningkatan yang ketara dari Jun ketika permintaan adalah 60 peratus di bawah tahap Jun 2019, kata IATA semalam.

Permintaan penumpang antarabangsa pada Julai adalah 73.6 peratus di bawah Julai 2019, lebih baik daripada penurunan 80.9 peratus yang dicatatkan pada Jun 2021 berbanding dua tahun lepas.

Semua rantau mencerminkan peningkatan dan syarikat penerbangan Amerika Utara merekodkan kemelesetan terkecil dalam RPK antarabangsa (data trafik dari Afrika bagi Julai tidak tersedia), kata IATA, yang mewakili sekitar 290 syarikat penerbangan yang merangkumi 82 peratus trafik udara global.

Jumlah permintaan domestik merosot 15.6 peratus daripada tahap sebelum krisis (Julai 2019), lebih baik daripada penurunan 22.1 peratus yang dicatat pada Jun lepas berbanding Jun 2019.

Rusia merekodkan keputusan terbaik untuk satu bulan lagi, dengan RPK menokok 28.9 peratus berbanding Julai 2019.

“Orang ramai akan melakukan perjalanan ke mana sahaja yang boleh, oleh itu ia menjadi faktor utama dalam domestik.

“Pemulihan perjalanan antarabangsa memerlukan kerajaan untuk membuka semula sekatan melakukan perjalanan.
“Paling kurang pun, individu yang diberi vaksin tidak sepatutnya menanggung sekatan ini.

“Perjalanan untuk menghubungkan kembali dunia dan menghidupkan semula sektor pelancongan masih lagi panjang ,” kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )