Iran rancang tingkatkan import minyak sawit dari Malaysia

Iran rancang tingkatkan import minyak sawit dari Malaysia

KUALA LUMPUR,. Iran merancang untuk meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia sehingga mencecah satu juta tan dan ke atas setiap tahun dalam usahanya memenuhi permintaan yang dijangkakan semakin bertambah dalam beberapa tahun akan datang.

Kedutaan Iran menjelaskan usaha ini memerlukan kerjasama dan penyelarasan lebih baik daripada kementerian berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan serta agensi bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala ke arah manfaat bersama.

“Mengikut data terkini, Iran berada di kedudukan teratas dalam senarai jumlah import minyak sawit Malaysia tahun ini dalam kalangan 10 negara Timur Tengah.

“Perangkaan (berdasarkan gambaran keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia ke Timur Tengah tahun ke tahun) menunjukkan Iran mengimport sebanyak 309,704 tan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, menyaksikan lonjakan hampir lima kali ganda daripada 63,039 tan yang dicatatkan semasa tempoh yang sama 2020,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Kedutaan itu menjelaskan Iran bersedia menjadi hab Malaysia bagi pengedaran minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke pasaran yang menguntungkan di negara Asia Barat dan Asia Tengah yang bersempadan dengannya.

“Bagi merancakkan lagi industri dan mempertingkatkan kembali aktiviti perdagangan dua hala, Iran akan terus meningkatkan import minyak sawit memandangkan kami sedang mengorak laluan kepada pemulihan ekonomi selepas terjejas akibat pandemik,” menurutnya.

Iran dan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketara bagi tempoh 2016 hingga 2018 susulan Perjanjian Nuklear Iran pada 2015, dan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat daripada RM2.82 bilion pada 2016 kepada RM4.52 bilion pada 2017.

–BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )