Kejohanan remaja dunia 2019: Roy King, Jhy Dar ketuai cabaran skuad Malaysia

Kejohanan remaja dunia 2019: Roy King, Jhy Dar ketuai cabaran skuad Malaysia

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengumumkan senarai skuad mengandungi 19 pemain bagi Kejohanan Remaja Dunia 2019 yang bakal diadakan di Kazan, Rusia dari 30 Sept hingga 5 Okt.

Skuad yang diterajui oleh juara bertahan Terbuka Remaja Antarabangsa dan juara Remaja Antarabangsa India, Yap Roy King dan Ooi Jhy Dar, turut menyenaraikan pemain wanita, K. Letshanaa dan Arena Satu Samin.

Jurulatih skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Menang berkata ini adalah pemilihan terbaik bakat muda dan menambah pemilihan bahawa pemilihan pemain dibuat semasa ujian pemilihan dan mereka yang mempamerkan prestasi cemerlang dipilih.

“Ia adalah gabungan terdiri daripada pemain senior seperti Yap Roy King, Ooi Jhy Dar, Ching Kai Feng dan pemain muda Lwi Sheng Hao yang berumur 18 tahun manakala yang lain berusia 16 dan 17 tahun.

“Kami tidak begitu cemerlang pada Kejohanan Remaja Asia apabila tewas di peringkat kumpulan. Kali ini, saya ingin menyatakan bahawa walaupun berada dalam undian yang selesa tetapi kami akan terus menampilkan yang terbaik untuk menduduki tangga teratas dalam kumpulan. Kami perlu waspada terhadap Hong Kong, Rusia dan tidak terlalu terlalu yakin kerana akan mengundang masalah untuk layak ke suku akhir,” katanya dalam satu kenyataan oleh BAM hari ini.

Beliau berkata berbanding tahun lalu, mereka mengambil keputusan untuk menghantar kontinjen yang lebih besar untuk memastikan semua pemain terutama pemain muda mendapat pendedahan dan peluang untuk beraksi pada kejohanan besar di peringkat remaja.

“Tahun ini kami memilih Roy King sebagai kapten pasukan. Beliau adalah salah seorang pemain senior dalam skuad dan telah melakar keputusan baik baru-baru ini.

“Shaqeem Eiman dan Wyman Goh sudahpun pulih selepas mengagalami kecederaan “slipped disc”. Mereka telah bekerja keras untuk pulih dan mengembalikan kecergasan untuk kejohanan ini, ” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B1 bersama Rusia, Kanada, Hong Kong dan Macau.

Untuk rekod itu, cabaran pasukan campuran remaja negara berakhir selepas kalah kepada China 1-3 di suku akhir pada edisi 2018.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )