Kelab EPL komited sambung liga

Kelab EPL komited sambung liga

LONDON,. Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali lagi melaungkan komitmen mereka untuk menamatkan musim 2019-20 walaupun timbul kerisauan dalam kalangan pemain-pemain mereka.

Liga utama Inggeris itu berdepan kerugian sehingga 1 bilion pound (RM5.37 bilion) jika saingan bola sepak itu tidak diteruskan akibat pandemik COVID-19.

Meneruskan baki 92 perlawanan secara tertutup akan meringankan beban kerugian itu, apabila tidak perlu membayar kembali jutaan ringgit kepada penyiar-penyiar.

Bagaimanapun Liga Perdana turut berdepan masalah logistik sekiranya ingin kembali meneruskan saingan, dengan Britain antara negara paling teruk dilanda pandemik berkenaan yang sudah mengorbankan 27,500 nyawa.

Semalam liga dan kelab-kelab membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi meneruskan musim tergendala itu.

“Liga dan kelab-kelab sedang mempertimbangkan langkah-langkah awal dan hanya akan kembali berlatih dan bermain dengan bimbingan kerajaan, di bawah nasihat pakar perubatan dan selepas rundingan dengan pemain serta pengendali.

“Kelab-kelab sekali lagi menyatakan komitmen mereka untuk menamatkan musim 2019-20, mengekalkan integriti pertandingan dan mengalu-alukan sokongan kerajaan,” kata Liga Perdana.

Liga dilaporkan memberitahu kelab-kelab yang perlawanan terpaksa diadakan di sehingga 10 gelanggang neutral untuk menamatkan musim ini.

Liverpool begitu hampir untuk menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga apabila mendahului saingan dengan kelebihan 25 mata.

Paris Saint-Germain dinobatkan juara Ligue 1 selepas Perdana Menteri Perancis Edouard Philippe mengumumkan acara sukan tidak boleh disambung sehingga September. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )