Keluarga Diraja British luang masa bersama kali terakhir

Keluarga Diraja British luang masa bersama kali terakhir

LONDON,. Anggota kanan keluarga Diraja British akan meluangkan masa bersama-sama hari ini, dalam apa yang dilihat sebagai perjumpaan terakhir sebelum Putera Harry dan isterinya, Meghan memulakan kehidupan baharu di Kanada.

Perkhidmatan Komanwel di Wesminster Abby ialah acara tahunan yang kali ini turut disertai pasangan suami isteri itu, selain Ratu Elizabeth, Putera William dan isterinya Kate, serta bapa kedua mereka, Putera Charles dan isteri, Camilla.

Ini adalah kali pertama anggota keluarga itu berhimpun selepas Harry dan Meghan mengejutkan seisi istana dengan keputusan berpindah keluar dan meneruskan kehidupan sendiri, tanpa sebarang pembabitan dengan peranan serta tugas sebagai anggota Diraja.

“Adalah amat mengujakan untuk mengetahui dengan lebih lanjut perkara ini. Saya membayangkan semua pihak akan berusaha mempamerkan yang terbaik, tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu apa sebenarnya bermain dalam fikiran mereka,” kata penulis biografi Diraja, Penny Junor.

Perjanjian Januari lalu yang akan berkuat kuasa akhir bulan ini, menyaksikan pasangan Duke dan Duchess of Sussex memulakan kehidupan baharu, sebahagian besar di Amerika Utara.

Harry, 35, dan Meghan, 38 juga akan berhenti menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia dan tidak menggunakan perkataan Diraja manakala Harry akan melepaskan semula pangkat di dalam pasukan tentera, walaupun masih kekal sebagai seorang putera raja.

Pengumuman dibuat pasangan itu dua bulan lalu untuk berundur dari tugasan Diraja mengejutkan seisi istana, sekali gus membawa kepada mesyuarat pasca krisis bersama Ratu Elizabeth, Putera Charles dan Putera William.

Pasangan terbabit sejak akhir-akhir ini menghabiskan sebahagian besar masa di Kanada, namun kembali semula ke Britain bermula awal bulan ini untuk beberapa acara akhir.

Anak mereka, Putera Archie bagaimanapun ditinggalkan bersama pengasuh di Kanada. – Reuters

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )