Kementerian Kesihatan aktifkan CPRC untuk pantau keadaan banjir

Kementerian Kesihatan aktifkan CPRC untuk pantau keadaan banjir

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan telah mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di ibu pejabatnya di Putrajaya untuk memantau keadaan banjir di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata CPRC akan memberikan laporan terkini setiap hari kepada kementerian berhubung jumlah mangsa banjir dan mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) untuk membolehkan tindakan perlu dan segera diambil.

“CPRC akan bekerjasama dengan PPS di kawasan terjejas banjir. Pihak (di PPS) mempunyai input (mengenai mangsa banjir yang berpindah) yang boleh dikongsi dengan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Input daripada PPS akan membantu kami mengendalikan (sebarang isu kesihatan) (sekiranya ada),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecederaan Tekanan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Rabu.

Beliau juga menasihatkan orang ramai di kawasan terjejas banjir untuk minum air yang dimasak berikutan bekalan air terawat mungkin terhad pada musim banjir.

Sementara itu, Dr Lee memuji kejayaan HKL menurunkan KPI Kebangsaan bagi kecederaan tekanan daripada 2.1 pada 2018 kepada 0.80 tahun, titik perubahan positif bagi penjagaan kesihatan kecederaan tekanan di Malaysia.

“Pasukan Jawatankuasa Pencegahan Kecederaan Tekanan HKL amat berdedikasi dalam menangani kes kecederaan tekanan.

“Mereka turut menyediakan manual pencegahan kecederaan tekanan untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik masyarakat khususnya tentang bagaimana untuk menguruskan pesakit terlantar di katil di rumah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Kecederaan Tekanan HKL Dr Harikrishna K.R. Nair menasihatkan penjaga pesakit terlantar di katil dan pesakit warga tua di rumah untuk sentiasa mengubah kedudukan pesakit berkenaan untuk mencegah berlakunya kecederaan tekanan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )