Kenaikan sagu hati mampu lahirkan lebih ramai sukarelawan – Rina Harun

Kenaikan sagu hati mampu lahirkan lebih ramai sukarelawan – Rina Harun

PUTRAJAYA,. Cadangan kenaikan sagu hati sebanyak 150 peratus kepada lebih 2,000 sukarelawan program khidmat bantu di rumah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan melahirkan lebih ramai sukarelawan ketika negara melakukan persediaan menjadi negara tua menjelang 2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kerajaan bercadang mewujudkan lebih ramai sukarelawan sebagai persediaan Malaysia menjadi negara tua, yang mana 15 peratus penduduknya merupakan warga tua menjelang 2030.

“Semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan masyarakat dapat mengawal kemasukan warga tua ke institusi penjagaan.

“Peningkatan jumlah sukarelawan juga akan menjadikan masyarakat lebih prihatin selain mewujudkan semangat ambil peduli antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media pasca Belanjawan 2021 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, kerajaan mengumumkan untuk menaikkan nilai sagu hati sukarelawan program khidmat bantu di rumah daripada RM150 pada masa ini kepada RM400.

Rina berkata sukarelawan yang tinggal di kawasan kejiranan warga emas akan diberikan kursus, taklimat serta latihan.

Beliau berkata setiap sukarelawan perlu menjaga maksimum empat orang ‘pelanggan’ warga emas yang tinggal seorang diri atau terlantar di rumah dan melakukan lawatan sekali seminggu atau empat kali sebulan.

“Jadi untuk empat orang pelanggan, sukarelawan itu perlu menjalankan 16 kali lawatan dengan membawa sedikit buah tangan atau barangan keperluan setiap kali melawat.

“Warga emas yang tinggal berseorangan biasanya sunyi dan memerlukan teman untuk berbual. Lawatan oleh sukarelawan dapat membantu golongan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )