Kes pertama jangkitan semula COVID-19 di Hong Kong

Kes pertama jangkitan semula COVID-19 di Hong Kong

PARIS,. Sekumpulan pengkaji di Hong Kong pada Isnin, mengenalpasti dan mengesahkan kes pertama di dunia membabitkan jangkitan semula COVID-19.

Dapatan itu menimbulkan persoalan mengenai ketahanan imuniti, sama ada ia boleh diperoleh secara semula jadi atau memerlukan vaksin.

Pakar Mikrobiologi di Fakulti Perubatan, Universiti Hong Kong, Kelvin Kai-Wang To, berkata ada kebarangkalian bagi bekas pesakit COVID-19 untuk dijangkiti semula.

“Kajian kami menunjukkan imuniti bagi jangkitan COVID tidak bertahan lama, bahkan jangkitan semula boleh berlaku agak pantas,” katanya dalam wawancara dengan AFP.

Pendedahan mengenai potensi bagi jangkitan semula wabak itu selepas insiden membabitkan seorang lelaki warga Hong Kong berusia 33 tahun yang melalui saringan mandatori awal bulan lalu di lapangan terbang Hong Kong selepas pulang dari Eropah.

Ujian calitan yang dilakukan itu mendapati beliau positif COVID-19.

Berita itu amat mengejutkan kerana lelaki itu sudah disahkan pulih sepenuhnya selepas didapati dijangkiti wabak itu kira-kira empat bulan lalu dan dianggap mempunyai imuniti khususnya selepas melepasi jangkitan sama.

Bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu dijangkiti semula atau ia tersebar melalui virus COVID-19 baharu, Kai-Wang To bersama kumpulan penyelidiknya menghimpunkan kedua-dua jenis virus berkenaan dan membandingkan genom dan kod genetiknya.

Hasil daripada kajian itu mendapati kedua-dua virus itu adalah berbeza daripada sudut baka atau kumpulan.

“Virus ini bermutasi setiap masa. Agak mustahil untuk bekas pesakit COVID-19 untuk mendapat virus kedua ketika jangkitan pertama,” katanya.

Sementara itu, Perunding Kanan Saintifik bagi projek genom COVID-19 di Welcome Sanger Institute, turut mengulas mengenai dapatan kajian berkenaan.

“Kajian ini menghuraikan bukti kukuh jangkitan semula berbanding penyelidikan terdahulu. Ini disebabkan ia menggunakan turutan genom bagi virus untuk mengasingkan kedua-dua jenis jangkitan,” katanya.

Setakat ini, banyak kes disyaki sebagai jangkitan semula dilaporkan, bagaimanapun masih belum ada kajian yang menunjukkan virus itu berkemungkinan masih ada dan muncul semula selepas beberapa minggu atau bulan. -AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )