Komen babitkan misi asing yang kini tular adalah tidak benar — Jurucakap

Komen babitkan misi asing yang kini tular adalah tidak benar — Jurucakap

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Kedutaan Jerman dan Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia menafikan kakitangan misi masing-masing ada membuat komen berkaitan isu semasa di Malaysia baru-baru ini.

Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi dalam kenyataan balas secara berasingan kepada Bernama, berkata tiada kakitangan dengan nama yang kini tular, bekerja dengan misi itu.

“Kedutaan Jerman ingin pastikan kerajaan dan rakyat Malaysia tahu bahawa itu adalah berita palsu.

“Sama ada Kaunselor Ekonomi Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur mahupun Kedutaan Jerman Kuala Lumpur tidak mengeluarkan sebarang komen seperti itu. Tiada orang seperti nama yang disebutkan itu bekerja dengan Kedutaan Jerman.

“Oleh itu, Kedutaan Jerman menyeru semua pihak jika mempunyai maklumat mencurigakan, perlu mengesahkan terlebih dahulu maklumat tersebut atau dapatkan daripada sumber sahih,” kata jurucakap kedutaan itu, Dr. David Krivanek.

Suruhanjaya Tinggi Britain pula menjelaskan tiada kakitangannya mempunyai kaitan dengan komen yang tular itu.

“Kami tidak mempunyai petugas bernama Ivan Skatch di Suruhanjaya Tinggi Britain, dan tidak mengeluarkan komen yang disebutkan dalam catatan Facebook.

“Menyiarkan maklumat palsu seperti itu tidak bertanggungjawab dan kami meminta pengguna media sosial untuk tidak menyebarkan komen yang belum tentu kesahihannya,” kata jurucakap Suruhanjaya Tinggi.

Kedua-dua pihak berkenaan diminta mengulas mengenai terdapat pihak yang mengaku sebagai kakitangan misi itu yang membuat komen mengenai pengisytiharan darurat ekoran wabak COVID-19 di negara ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )