KWP rancang bina fasiliti latihan sukan berpusat di Putrajaya – Annuar Musa

KWP rancang bina fasiliti latihan sukan berpusat di Putrajaya – Annuar Musa

KUALA LUMPUR,. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang membina fasiliti latihan sukan berpusat bagi kegunaan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), kata menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata Perbadanan Putrajaya telah pun bersetuju menyediakan tanah bagi pembinaan fasiliti tersebut yang terletak bersebelahan Stadium Ragbi Nasional, Presint 13 yang sedang dalam pembinaan.

“Masih dalam sesi perundingan dengan agensi pusat di bawah Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12, kita berharap ia (pembinaan) dapat dimulakan pada 2022.

“Sekarang fasiliti sukan sedia ada dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan di bawah KWP, tapi yang terkini fasiliti latihan berpusat adalah satu keperluan untuk meningkatkan prestasi atlet dan memudahkan program latihan berpusat kepada setiap persatuan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar Sport Coaching and Development 2021 di Bangsar, pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, MSWP memeterai lima perjanjian persefahaman dengan beberapa universiti dan agensi antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mahsa University dan Paragon Vest Sdn Bhd yang bakal memberikan manfaat kepada pembangunan sukan dan sokongan pendidikan kepada atlet Wilayah Persekutuan.

Selain itu, MWSP turut melancarkan kad diskaun Team Wipers yang membolehkan 1,300 atlet menikmati potongan sehingga 25 peratus bagi pembelian barangan sukan daripada kedai sukan terpilih.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )