Lebih 15,215 peluang pekerjaan ditawar melalui PENJANA HRDF

Lebih 15,215 peluang pekerjaan ditawar melalui PENJANA HRDF

KUALA LUMPUR,. Lebih 15,215 peluang pekerjaan telah ditawarkan menerusi Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) atau dikenali sebagai PENJANA HRDF sejak ia dilancarkan Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, sehingga 15 Ogos, pihak HRDF telah menerima sebanyak 9,239 kertas cadangan yang melibatkan 2,548 majikan, yang akan menawarkan penempatan pekerjaan kepada pencari kerja.

“Selain itu, dalam tempoh masa hanya kurang dari satu setengah bulan, lebih 15,000 penempatan pekerjaan telah pun berjaya ditawarkan menerusi PENJANA HRDF.

“Hari ini (semalam), seramai 50 warga tempatan akan menerima Surat Tawaran Pekerjaan, dan seterusnya menjalani latihan di bawah PENJANA HRDF. Mereka ini mewakili lebih 15,000 rakyat Malaysia yang akan menjalani latihan dalam waktu terdekat, sebelum ditempatkan dengan majikan masing-masing.

“Kesemua individu ini berjaya melepasi sesi temu duga dan terpilih untuk menjalani latihan bagi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan.

“Sebaik selesai latihan, golongan ini akan mula bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan, dengan kadar gaji bermula antara RM1,800 dan RM7,000 sebulan. Kos latihan bagi setiap pekerja ini dianggarkan berjumlah RM5,000 setiap seorang. Manakala untuk latihan kemahiran yang teknikal, kosnya dianggarkan mencecah lebih RM7,000 bagi setiap pelatih,“ katanya berucap pada Majlis Inisiatif PENJANA HRDF bertempat di World Trade Center Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia Tuan Haji Awang Hashim dan Pengerusi HRDF Datuk Nelson Renganathan.

Sementara itu, Nelson dalam ucapannya berkata, HRDF sebagai sebuah agensi dari bawah Kementerian Sumber Manusia telah diberi mandat oleh Kerajaan Malaysia untuk memangkin pembangunan tenaga kerja tempatan yang kompeten lagi berwibawa.

“Sebagai organisasi yang berperanan dalam membangunkan tenaga kerja tempatan, peranan utama PSMB adalah untuk memastikan pembangunan modal insan berkualiti melalui program pensijilan latihan dan kemahiran dengan penuh integriti di samping tadbir urus yang baik.

“Selain itu, saya juga amat teruja dengan kerjasama yang akan dijalinkan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan latihan kemahiran kepada lebih 30,000 golongan belia dan graduan menganggur di bawah program-program yang sedang dirancang dengan begitu rapi.

“Menerusi kerjasama-kerjasama seumpama ini, kami di PSMB berharap agensi ini akan dapat memperluaskan skopnya daripada sebuah agensi yang hanya memfokuskan latihan dan pembangunan kemahiran kepada sebuah agensi yang turut menekankan keperluan negara yang makin mendesak untuk menjadi sebuah hab menjana pekerjaan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan,” katanya.

Pada Majlis yang sama, seramai 50 individu menerima Surat Tawaran Pekerjaan sebagai simbolik kepada kejayaan tersebut. Kesemua individu terbabit telah berjaya melepasi sesi temu duga dan akan menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran mereka sebelum memulakan pekerjaan untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

Sebanyak 100 majikan dan 250 penyedia latihan turut diberikan penghargaan atas usaha sama serta komitmen terhadap kejayaan inisiatif ini.

HRDF telah dilantik sebagai penyelaras untuk semua program ‘Reskilling dan Upskilling’ di bawah PENJANA, yang dijalankan oleh pelbagai agensi.

Justeru, satu halaman arahan atau ‘landing page’ telah diwujudkan untuk menyediakan akses mudah berkaitan semua maklumat program Upskilling dan Reskilling, di bawah PENJANA, dalam memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pelatih diambil bekerja selepas tempoh latihan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )