Mahkamah Tinggi sampaikan keputusan kes rasuah RM3 juta Isa Samad pada 9.30 pagi

KUALA LUMPUR,. Semua mata akan tertumpu ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang dijadual menyampaikan keputusan terhadap bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka memberikan penghakimannya pada 9.30 pagi ke atas Mohd Isa, 71, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

Mohd Isa didakwa menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai khas politiknya Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel itu oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai barisan pembelaan.

Seramai 20 wartawan, seorang daripada organisasi media terpilih, diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di sebuah bilik.

Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan liputan media semasa prosiding di mahkamah terbuka kecuali untuk kes melibatkan kepentingan awam, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung atau kemudahan liputan media menerusi aplikasi zoom.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )