Malaysia kekal sebagai destinasi perjalanan selamat – Penganjur MIFF

Malaysia kekal sebagai destinasi perjalanan selamat – Penganjur MIFF

KUALA LUMPUR,. Penganjur Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) memberi jaminan kepada peserta MIFF 2020 pada Mac ini bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi perjalanan yang selamat berikutan penularan kluster 2019 novel koronavirus.

Katanya pihak berkuasa sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan telah meningkatkan langkah perlindungan ke peringkat tertinggi mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menjaga kesejahteraan pengunjung.

Penganjur MIFF, Informa Markets menggalakkan peserta MIFF, terutamanya mereka yang berkunjung ke China baru-baru ini, untuk memantau kesihatan mereka dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mereka berasa tidak sihat atau menunjukkan gejala yang berkaitan.

“Informa Markets meletakkan kesejahteraan dan keselamatan semua peserta MIFF 2020 sebagai paling utama,” kata penganjur dalam kenyataannya mengenai koronavirus hari ini.

Katanya kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sentiasa memantau keadaan dan mengambil tindakan pencegahan serta langkah-langkah untuk menanganinya.

MOTAC menyediakan maklumat dan nasihat kepada semua pelancong mengenai apa yang perlu dilakukan seperti yang disyorkan oleh KKM untuk mencegah jangkitan semasa mereka berada di negara ini.

KKM telah meningkatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk ke negara ini dan bersedia untuk bertindak pantas sekiranya perlu.

Kerajaan Malaysia juga telah menggantung visa imigresen sementara – eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual – kepada semua warganegara China dari bandar Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

“Informa Markets dan MIFF berusaha untuk memastikan MIFF 2020 dari 6 hingga 9 Mac akan menjadi satu lagi kejayaan buat semua pempamer dan pengunjung perdagangan.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada semua mengenai perkembangan terbaharu mengenai situasi ini. Pada masa sama, kami menggalakkan semua pihak untuk sentiasa berjaga-jaga, ” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )