Malaysia, Korea meterai MoU kerjasama teknologi maklumat dan komunikasi

Malaysia, Korea meterai MoU kerjasama teknologi maklumat dan komunikasi

PUTRAJAYA,. Malaysia dan Korea Selatan hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan hari ini berkata sesi menandatangani MoU itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In di Rumah Biru, yang merupakan pejabat eksekutif dan kediaman rasmi Presiden Korea Selatan, di Seoul.

Malaysia diwakili Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, manakala Korea Selatan diwakili Menteri Sains dan ICT, Choi Kiyoung.

Menurut kenyataan itu, MoU tersebut merupakan satu bentuk kerjasama bersama, untuk memenuhi tugas dan fungsi masing-masing dalam perspektif pertukaran maklumat dan perkongsian inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), yang saling menguntungkan.

“MoU ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka panjang dan meningkatkan lagi pelaburan, serta memberi peluang yang luas untuk pertukaran teknologi tinggi antara Malaysia dan Korea Selatan,” katanya.

KKMM berkata melihat kepada perkembangan pesat industri ICT di Korea Selatan, perkongsian pengetahuan dan kepakaran bersama terutamanya dalam bidang ICT, akan memberi nilai tambah yang menguntungkan kepada Malaysia.

“MoU ini juga akan membuka prospek penting bagi usahawan dan pemain teknologi telekomunikasi di kedua-dua negara, untuk terus berinovasi dan memajukan teknologi,” katanya.

Menurut KKMM, MoU itu akan memberi tumpuan kepada pelbagai bidang, antaranya data raya, kecerdasan buatan dan internet pelbagai benda (IoT), pembangunan kandungan perisian dan digital, serta rangkaian telekomunikasi termasuk 4G dan 5G, e-dagang, penyiaran digital dan keselamatan siber.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )