Malaysia melangkah hampir ke arah pelaksanaan 5G – Gobind

Malaysia melangkah hampir ke arah pelaksanaan 5G – Gobind

LANGKAWI,. Pelancaran Projek Demonstrasi 5G di sini malam ini merupakan satu pencapaian penting, yang menyaksikan Malaysia bergerak semakin hampir ke arah pelaksanaan 5G dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata 72 kes kegunaan ketika ini didemonstrasi di 56 lokasi langsung 5G dan enam negeri di Malaysia, dan menurutnya di Langkawi sahaja terdapat 35 kes kegunaan di 25 lokasi langsung.

Kegunaan kes di seluruh negara itu meliputi sembilan vertikel berbeza, yang terdiri daripada pertanian; penjagaan kesihatan digital; pendidikan; hiburan/media; pembuatan dan pemprosesan; minyak dan gas; bandar raya pintar; pengangkutan pintar; dan pelancongan.

“Äpa yang sedang kita lihat di Langkawi ini adalah lonjakan dalam pembangunan teknologi 5G, dengan kita mempamerkan kes kegunaan tepat masa yang sudah siap dan berjalan ketika ini; dan kita berusaha ke arah meningkatkan lagi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang-bidang ini,” katanya.

Beliau membayangkan Langkawi akan berubah menjadi ´Pulau Digital´ dengan teknologi mengubah cara kehidupan dan pekerjaan penduduk pulau itu, dan bagaimana pulau itu berkembang.

“Transformasi ke arah menjadi sebuah pulau yang mapan, pintar dan selamat ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti tempatan, tapi juga pihak berkuasa tempatan dalam merancang projek-projek pembangunan akan datang, kata Gobind.

Beliau berkata kes-kes kegunaan seperti pertanian pintar dan pertanian kota ini amat relevan bagi Langkawi dan negara, kerana ia menyokong aspirasi negara dalam memaksimakan hasil pengeluaran serta meningkatkan stok bekalan makanan negara.

“Penjagaan kesihatan digital ketika ini berada dalam tempoh percubaan di Langkawi, termasuk aspek pertukaran data perubatan tepat masa serta ambulans yang saling berhubungan, serta khidmat rundingan jarak jauh di Hospital Sultanah Maliha,” katanya.

Katanya kes kegunaan bagi vertikal bandar raya pintar pula berkisar kepada kawalan sempadan digital bagi memantau aspek keselamatan pelabuhan dengan lebih baik.

“5G adalah pembawa perubahan yang berpotensi dalam kehidupan dan cara kita bekerja, semasa kita berusaha membina ekosistem 5G dengan membangunkan kes kegunaan 5G bagi tujuan merangsang dan mempercepatkan permintaan serta pelaksanaan 5G di Malaysia.

“Terdapat keperluan mendesak ketika ini untuk meningkatkan pemahaman mengenai 5G yang melampaui perkhidmatan jalur lebar dan mempunyai keupayaan untuk mengubah wajah banyak industri,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Projek Demonstrasi 5G di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini.

Beliau berkata teknologi 5G akan menyuburkan lagi inovasi dan membuka peluang-peluang baharu dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pendidikan, pentadbiran kerajaan, penjagaan kesihatan, keselamatan awam dan pengangkutan.

Menurutnya 24 pasaran Asia Pasifik dijangka melancarkan 5G menjelang tahun 2025, dan pelaksanaan 5G itu akan menyumbang hampir US$900 bilion kepada ekonomi rantau ini dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Jadikanlah teknologi 5G ini satu lagi pencapaian amat penting menuju ke arah Malaysia cemerlang,” katanya.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )