MB Selangor tinjau kawasan bencana ribut di BBST Isnin

MB Selangor tinjau kawasan bencana ribut di BBST Isnin

PUTRAJAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dijadual melawat kawasan yang dilanda bencana ribut hari ini di Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi (BBST). Turut serta dalam lawatan tapak itu adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Datuk Abd Hamid Hussain.

Kejadian ribut pada Sabtu merosakkan 105 rumah ekoran hujan lebat yang berlaku kira-kira 5 petang

Antara kawasan perumahan BBST yang terjejas adalah Taman Seroja dengan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Apartment Seroja Hill (tujuh), Apartment Taman Dahlia (12), Kampung Baru Pekan Salak (20) dan Kampung Salak Tengah (tujuh).

Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) BBST turut mengalami kerosakan.

Selain itu, angin kuat dan hujan lebat yang berterusan itu turut merosakkan khemah dan peralatan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi berkata beberapa SJR turut mengalami kerosakan antaranya di Jalan BBST/Nilai; Jalan Pekan Salak/Kota Seriemas; Jalan Salak/Jijan; Jalan Sepang/Labu; tol Serenia dan tol Putrajaya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )