McPhee mahu ulangi kejayaan di Valencia

McPhee mahu ulangi kejayaan di Valencia

KUALA LUMPUR,. Pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing John McPhee mahu mengulangi kejayaannya sebelum ini di sirkit Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol ketika berlumba di Grand Prix Eropah yang berlangsung di sirkit tersebut, hujung minggu ini.

Pelumba 26 tahun dari Scotland itu yang buat kali pertama menjuarai kejuaraan dunia dalam kelas 125cc pada 2010, di mana beliau menduduki petak hadapan dua kali (petak pertama pada 2015 dan petak ketiga 2018 di sirkit itu) dan menduduki tempat ketiga pada 2018.

“Dahulu saya amat pantas di sirkit Valencia, jadi kami berharap dapat ulanginya lagi dan meneruskan prestasi baik kami dari perlumbaan yang lepas,” katanya seperti dinyatakan dalam kenyataan dikeluarkan pasukan itu.

“Kami masih mempunyai beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk kejuaraan itu, tetapi saya rasa kita perlu lihat apa yang akan berlaku. Saya juga amat gembira untuk menamatkan perlumbaan terakhir dalam siri tiga perlumbaan dalam sebulan ini dan musim ini dengan Portimo (sirkit di Portugal) sebagai pusingan akhir, kerana ia sirkit baru,” katanya.

Sementara itu rakan sepasukannya Khairul Idham Pawi (KIP) akan terus berusaha memperbaiki masa pusingannya, dengan mengumpulkan data untuk dua perlumbaan yang akan datang di sirkit yang sama, dengan harapan dapat mencatatkan keputusan yang lebih baik pada hujung musim ini.

“Saya rasa dua perlumbaan yang akan datang di Valencia akan agak sukar untuk semua bukan sahaja untuk kami. Kami jangkakan keadaan agak sejuk, dengan hujan, ketika kami sampai,” katanya.

“Dengan beberapa selekoh awal ke kiri dan satu ke kanan, ia akan menjadi licin pada awal setiap sesi. Kami akan pastikan yang tayar kami cukup panas sebelum bertindak untuk pusingan yang pantas,” jelas KIP.

GP Eropah akan bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti dengan sesi kelayakan pada Sabtu, sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.

McPhee pada ketika ini berada pada kedudukan keenam Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 119 mata, manakala KIP masih gagal meraih sebarang mata selepas 12 perlumbaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )