MFL pinda perlembagaan, pencalonan jawatan Presiden terbuka

MFL pinda perlembagaan, pencalonan jawatan Presiden terbuka

PUTRAJAYA,. Jawatan presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kini boleh disandang mana-mana individu selepas MFL hari ini meminda Perlembagaan MFL berhubung pencalonan kedudukan nombor satu badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pindaan itu menyaksikan Ahli Lembaga Pengarah MFL diberi kebebasan untuk mencalonkan individu berkelayakan dan sesuai sebagai presiden.

Jelas beliau meskipun mana-mana individu bebas diundi menjadi presiden MFL, proses pencalonan masih kekal dengan pencalonan presiden itu hanya boleh dibuat menerusi Ahli Lembaga Pengarah.

“Pihak lembaga pengarah dan rakan kongsi MFL berpendapat kita perlu memberi ruang kepada mana-mana individu di luar sana yang layak ataupun dalam kalangan ahli lembaga pengarah sendiri yang sebelum ini tidak mendapat peluang.

“Jadi, satu hari selepas saya tidak lagi dalam MFL, lembaga pengarah boleh putus sebagai contoh ingin jadikan Tan Sri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia)(sebagai presiden MFL), mereka boleh lakukan. Kalau dulu tak boleh sebab seseorang itu kena empat tahun dalam lembaga pengarah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4 MFL di sini hari ini.

Hamidin berkata pindaan klausa 11.2 Perlembagaan MFL itu menyaksikan individu yang dicalonkan Ahli Lembaga Pengarah MFL tidak boleh terikat dan dikaitkan dengan; dan mewakili atau memegang jawatan dalam Rakan Kongsi Kelab.

Rakan Kongsi Kelab adalah pemegang taruh terdiri daripada pasukan bertanding dalam saingan Liga-M.

Beliau juga berkata MFL bersedia sepenuhnya untuk memastikan industri bola sepak tempatan kembali aktif menjelang 2021 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Hamidin berkata pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan turut komited membantu pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, kemudahan sukan dan akademi sekali gus memulihkan industri bola sepak secara menyeluruh.

“Saya berharap MKN (Majlis Keselamatan Negara) prihatin terhadap industri bola sepak negara seperti pengusaha padang komersial dan futsal negara kerana golongan ini juga antara faktor kekuatan ekonomi bola sepak tempatan.

“Saya menganggap mereka juga perlu diberikan kebenaran untuk meneruskan kelangsungan hidup selaras dengan pematuhan SOP pandemik COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )