Peluang cerah skuad berbasikal trek di Olimpik Tokyo

Peluang cerah skuad berbasikal trek di Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR,. Skuad berbasikal trek kebangsaan dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk meraih keputusan yang membanggakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai ini, susulan prestasi cemerlang ditonjolkan oleh pelumba pada Kejohanan Dunia 2020 yang berakhir di Berlin, Jerman, semalam.

Ketua Jurulatih kebangsaan, John Beasley berkata dua pingat gangsa, satu rekod Asia dan tiga rekod terbaik peribadi yang dicatat oleh anak buahnya di kejohanan dunia itu antara persembahan terbaik yang dicapai negara meskipun hanya memiliki satu velodrom.

“Malaysia pastinya sangat teruja melihat pasukan pelumba kita mempunyai peluang di Tokyo. Ia sangat berbeza dengan keputusan yang dicapai pada Kejohanan Dunia tahun lepas,” katanya dalam hantaran terkini di laman Facebooknya hari ini.

Beasley menyifatkan keputusan positif oleh anak buahnya itu di Berlin menjawab kritikan oleh segelintir pihak terhadapnya, berikutan prestasi buruk yang dicapai pasukan kebangsaan pada Kejohanan Dunia 2019.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang pula telah memenangi dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut. Pingat gangsa dalam kategori acara pecut adalah yang kedua selepas memenangi pingat perak pada edisi 2009 di Poland.

Pelumba berusia 32 tahun yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mencatatkan rekod Asia dan kebangsaan bagi acara pecut selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9.548 saat (s) pada pusingan kelayakan kejohanan dunia itu.

Catatan yang dilakukan Mohd Azizulhasni atau ‘Jijoe’ itu sekali gus memadam rekod 9.609s yang dicatat pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dan juga rekod kebangsaanya sendiri iaitu 9.760s.

Seorang lagi pelumba kebangsaan, Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut mencatatkan rekod kebangsaan bagi acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan 1 minit 00.305s, sekali gus memadamkan rekod kebangsaan 1:01.658 s oleh Mohd Rizal Tisin iaitu bekas pelumba kebangsaan negara, yang merangkul pingat gangsa pada kejohanan dunia di Poland pada 2009.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )