Pembukaan industri kreatif adalah satu keperluan – Tan Sri Annuar Musa

Pembukaan industri kreatif adalah satu keperluan – Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Pembukaan industri kreatif dan beberapa sektor hiburan dalam fasa peralihan dari pandemik ke endemik adalah satu keperluan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Jelasnya, sektor kreatif adalah antara yang amat terkesan apabila tidak dapat berfungsi sepenuhnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari tahun lalu. “Ia adalah antara sektor ekonomi yang terawal ditutup, namun antara yang terakhir untuk dibuka semula. Saya berharap sektor hiburan dapat bernafas semula dan semua pemegang taruh sektor ini dapat menjana semula ekonomi sektor kreatif dalam norma baharu.

“Meskipun ada batasan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, ia tidak perlu menjadi kekangan untuk sektor itu berkembang dengan lebih maju dengan cara yang lebih kreatif.
“Kelonggaran yang diberikan merupakan refleksi sebenar keprihatinan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memastikan kelangsungan dan kelestarian rakyat sejajar dengan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu..

Annuar turut berterima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas pengumuman mengenai kelonggaran SOP Fasa 1 yang akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat sektor industri kreatif.

Pembukaan semula lapan aktiviti industri kreatif itu mulai 9 September 2021, katanya disambut baik oleh para artis, penggiat industri dan pekerja belakang tabir yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya lagi, kerajaan komited menyokong pembangunan dan kelangsungan sektor industri kreatif menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif penting antaranya ialah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bertujuan untuk memberi suntikan dan nilai tambah susulan pembukaan semula operasi sektor pada Fasa 1 PPN.

Kata Annuar, sepanjang pandemik, pekerja sektor kreatif yang kebanyakannya bekerja secara kontrak atau secara sambilan didapati amat terkesan. “Ramai penggiat industri kreatif menjadi asnaf dan terpaksa membuat apa sahaja yang boleh demi sesuap nasi,” katanya.

Annuar berharap kelonggaran itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya selain mengingatkan penggiat industri kreatif untuk terus mematuhi semua garis panduan dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-Agensi

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )