Pemimpin parti politik selesai menghadap Agong di Istana Negara

KUALA LUMPUR,. Pertemuan pemimpin parti-parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selesai kira-kira 4 petang ini.

Antara yang hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut dipanggil menghadap adalah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala semua presiden parti komponan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri pertemuan itu secara maya.

Difahamkan turut berangkat bersama dalam pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 2 petang tadi adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, yang menemui pemberita selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu berkata, Seri Paduka menasihati semua parti politik agar bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Sultan Nazrin pula menekankan mengenai muafakat politik baharu yang lebih aman dan damai demi rakyat.

“Jadi kita harus menjurus semula ke arah pembangunan. Ini bukan sahaja isu lantikan Perdana Menteri baharu dan Timbalan Perdana Menteri baharu.

“Semua parti politik beri pandangan masing-masing tetapi semuanya ada satu fahaman yang konsensus untuk hentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan…,” katanya, yang turut diiringi Lim dan Mohamad.

Lebih 50 petugas media tempatan dan antarabangsa ‘berkampung’ di pekarangan Pintu Dua Istana Negara bagi membuat liputan mengenai pertemuan di Istana Negara itu, berikutan perkembangan terkini politik negara yang membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan jawatan seluruh Jemaah Menteri.

Seri Paduka juga berkenan untuk Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )