Peruntukan RM250,000 labuhkan tukun tiruan galak pertumbuhan karang

Peruntukan RM250,000 labuhkan tukun tiruan galak pertumbuhan karang

PORT DICKSON,. Jabatan Perikanan Negeri Sembilan memperuntukkan sejumlah RM250,000 bagi melabuhkan 25 tukun tiruan rekreasi yang bertujuan menggalakkan lagi pertumbuhan karang dan populasi ikan di perairan Teluk Kemang di sini.

Pengarahnya Halimi Abu Hanip berkata kesemua tukun tiruan konkrit itu dijangka akan dilabuhkan menjelang akhir bulan hadapan.

“Ini juga sekali gus meningkatkan hasil pendapatan nelayan dan pemancing rekreasi. Kita akan labuhkan (tukun) di luar Kawasan Larangan Perikanan Tanjung Tuan kira-kira tiga batu nautika dari jarak pantai dengan kedalaman sekitar 20 meter.

“Bila ia dilabuhkan nanti, tukun itu akan menjadi struktur yang menarik perhatian ikan berkumpul, seterusnya menjadi habitat ikan yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan ‘touch point’ kepada myKomuniti Perikanan (myKP) di sini, semalam.

Program berkenaan melibatkan seramai 40 nelayan myKP dengan peruntukan sebanyak RM54,000, bertujuan bagi meringankan beban selain merangsang ekonomi serta produktiviti golongan itu.

Sementara itu, Halimi berkata setakat ini 90 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan negeri itu dalam tempoh 10 tahun sejak 2010.

Beliau dalam pada itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan projek pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Melaka, yang menurut beliau akan menjejaskan ekosistem hidupan laut termasuk terumbu karang di Tanjung Tuan, dekat sini.

“Projek itu dibuat dalam kawasan bersempadanan dengan negeri ini dan kita sangat khuatir pembinaan pelabuhan itu akan menyebabkan berlaku pemendakan yang akhirnya khazanah terumbu karang yang unik di situ tidak dapat hidup subur dan mati,” katanya, sambil menambah bahawa ia juga akan menjejaskan pendapatan hampir 500 nelayan di kawasan sekitar.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 25 Ogos lepas memaklumkan bahawa untuk mewujudkan koridor ekonomi baharu dan pelaburan berimpak tinggi iaitu Melaka Waterfront Economic Zone atau M-Wez bernilai kira-kira RM100 bilion membabitkan kawasan KLIP sebagai hab perkhidmatan industri minyak dan gas.

— Bernama

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )