Petronas selesaikan urus niaga blok MISC, Petronas Dagangan dan Petronas Gas

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya menyelesaikan urus niaga blok ke atas saham-sahamnya dalam MISC Bhd, Petronas Dagangan Bhd dan Petronas Gas Bhd.

Firma minyak nasional itu menjelaskan, dagangan blok itu dipasarkan kepada dana institusi Malaysia dan dijalankan sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan portfolio Petronas.

“Kami tetap komited kepada syarikat-syarikat ini yang merupakan entiti penting dalam rantaian nilai perniagaan bersepadu PETRONAS,” kata Petronas dalam satu kenyataan Isnin.

Penjualan saham-saham tersebut juga, akan membolehkan lebih ramai penyertaan tempatan dan pemilikan dalam syarikat tersenarai awam, katanya, sambil menambah Petronas akan mengekalkan kepentingannya dalam MISC, Petronas Dagangan dan Petronas Gas, yang akan terus menjadi subsidiarinya.

Menurut satu laporan berita, Petronas berjaya mengumpulkan lebih kurang RM6 bilion melalui pengurangan kepentingan dalam tiga anak syarikat yang disenaraikan.

Laporan itu yang memetik sumber, menyatakan penempatan saham telah dilaksanakan pada Isnin, dan jualan ketara itu disenaraikan sebagai antara urus niaga blok yang terbesar di Malaysia.

Petronas sedang menghimpunkan modal untuk membiayai pengembangan di luar negara selepas menyelesaikan projek kilang penapisan dan petrokimia bernilai US$27 bilion di Pengerang, Johor, kata laporan berita itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )