PGA7 rampas lebih 2.5 tan daging ayam beku seludup di Pasir Mas

PGA7 rampas lebih 2.5 tan daging ayam beku seludup di Pasir Mas

PASIR MAS,. Sebanyak 257 kotak berisi daging ayam beku bernilai RM70,840 yang cuba diseludup ke negara ini dirampas sepasukan anggota Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam serbuan berdekatan pangkalan haram Jitong di sini, awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Supt Azhari Nusi berkata, kegiatan itu dikesan ketika anggotanya membuat rondaan kira-kira pukul 6 pagi dan ternampak kelibat beberapa lelaki sedang memunggah kotak daripada perahu ke dua buah kenderaan.

Beliau berkata sebaik dihampiri, kesemua lelaki itu bertindak terjun ke dalam Sungai Golok untuk melarikan diri ke negara jiran dengan berenang dan menaiki perahu.

“Pemeriksaan di tempat kejadian menemui kenderaan Mitsubishi Pajero dan Nissan Vanette yang sendat dengan ratusan kotak berisi 2,570 kilogram (kg) ayam sejuk beku,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal Lubok Setol di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun terdapat perkataan “halal” pada kotak berkenaan, namun status halalnya diragui disebabkan dibawa masuk secara haram.

Jelasnya, kesemua daging ayam beku itu akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dah Pemeriksaan Malaysia 2011.

Dalam perkembangan sama, Azhari berkata sejak memgambil alih tugas Op Benteng Covid bermula 14 Sept lalu pihaknya berjaya melakukan enam tangkapan berkaitan tekong dan pendatang haram.

Katanya, seramai enam tekong dan pembawa melibatkan tiga lelaki Melayu, Cina (1), lelaki Thailand (1) dan perempuan Thailand (1) telah ditahan berkait kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Bagi kes pendatang haram pula, seramai 25 orang ditahan terdiri daripada warga Thailand dan Kemboja. Kita percaya memang ada banyak cubaan masuk ke sini disebabkan faktor tekanan ekonomi,” katanya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemasukan pendatang haram, bekerjasama membanteras isu berkenaan.

— BERNAMA

TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )