Piala Sudirman: Choong Hann percaya skuad negara mampu cabar Jepun, England

Piala Sudirman: Choong Hann percaya skuad negara mampu cabar Jepun, England

KUALA LUMPUR,. Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann percaya pasukan negara mampu memberikan cabaran sengit, khususnya dalam menghadapi Jepun dan England pada Piala Sudirman 2021 bermula 26 Sept hingga 3 Okt ini di Vantaa, Finland.

Malaysia, yang merupakan pilihan kelapan, berdepan saingan hebat apabila diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2019 Jepun selain England dan Mesir, dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.

Melihat Jepun sebagai ancaman terbesar pasukan negara, beliau berkata persediaan bagi kejohanan tersebut, selain bagi Piala Thomas dan Uber, sudah pun dijalankan dan kini tiba masa untuk pihaknya menilai prestasi para pemain dan memutuskan senarai terakhir pasukan.

“Saya percaya dengan persediaan yang dilakukan, namun, (saya) lebih mengambil berat dalam menentang pasukan England, kami memang berpeluang untuk mengatasi pasukan itu tapi harus fokus dan berwaspada pada waktu yang sama.

“Bagi pasukan Mesir pula, peluang juga ada untuk mengatasi mereka dan dalam masa sama kami juga berpeluang untuk mengetengahkan pemain muda untuk berdepan mereka,” katanya.

Sementara itu pemain perseorangan wanita Siti Nurshuhaini Azman dan Tan Zhing Yi mempamerkan prestasi cemerlang dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dalam Kejohanan Ranking Rmaja Dalaman.

Siti Nurshuhaini mengetepikan Ong Xin Yee 21-16, 19-21, 21-15, manakala Zhing Yi menewaskan Joanne May 21-14, 21-16, bagi meraih dua tempat teratas.

“Saya bermula dengan baik dan bermain dengan baik tapi dia (Xin Yee) boleh membaca permainan saya. Saya terpaksa bangkit semula pada set ketiga dan kekalkan corak permainan. Saya akan kekal fokus dan teruskan perjuangan untuk meraih tempat pertama dalam kejohanan ini,” kata Siti Nurshuhaini.

Berikut adalah undian penuh Piala Sudirman 2021:

Kumpulan A: China, Thailand, Finland, India

Kumpulan B: Taiwan, Korea Selatan, Tahiti, Jerman

Kumpulan C: Indonesia, Denmark, Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC), Kanada

Kumpulan D: Jepun, Malaysia, England, Mesir

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )