Polis, TNB potong elektrik premis judi dalam talian di Brickfields

Polis, TNB potong elektrik premis judi dalam talian di Brickfields

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Sebanyak lapan premis dalam kawasan pentadbiran polis daerah Brickfields yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian, telah dipotong bekalan elektrik.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, pemotongan dilakukan dalam satu operasi bersama pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Operasi pemotongan ini diambil mengikut peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 21 A, Akta Rumah Judi Terbuka (Pindaan 2001) dan Akta Bekalan Elektrik 1990, dan dijalankan berikutan terdapat kegiatan judi dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Zairulnizam berkata, pada mulanya sebanyak 18 unit premis yang direkodkan pernah menjalankan aktiviti judi dalam talian, namun 10 daripadanya didapati sudah bertukar pengurusan dan tidak terbabit dalam aktiviti perjudian.

Katanya tindakan itu juga adalah satu daripada langkah yang diperuntukkan undang-undang, bagi memastikan kegiatan judi dapat dihentikan.

“Usaha membanteras kegiatan perjudian ini dipandang serius, supaya mereka tidak beroperasi semula dan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang ada, amat dialu-alukan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )