Raja Permaisuri Agong berangkat ke Konsert Diraja KPM 2019

Raja Permaisuri Agong berangkat ke Konsert Diraja KPM 2019

KUALA LUMPUR,. Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Konsert Diraja Kementerian Pendidikan (KPM) 2019, di Panggung Sari, Istana Budaya, malam ini.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah pada kira-kira pukul 8.25 malam disambut oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Turut hadir Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM, Zainal Abas.

Konsert itu membuka tirai dengan persembahan tarian tradisional negeri Pahang iaitu Walinongsari oleh 36 murid daripada pelbagai sekolah rendah dan menengah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tunku Azizah dan lebih 1,400 penonton yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian yang didendangkan oleh murid serta guru sekolah di bawah KPM antaranya Sekolah Seni Sabah Malaysia.

Konsert Diraja KPM 2019 dianjurkan BSKK dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) itu disertai 127 peserta terdiri daripada murid dan guru selain menampilkan persembahan penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat.

Tunku Azizah yang berkenan menyaksikan konsert yang berlangsung hampir dua jam itu berangkat pulang kira-kira pukul 11.20 malam sebelum berkenan bersalaman serta bergambar kenangan bersama peserta yang menjayakan konsert.

Konsert diakhiri dengan persembahan lagu medley irama tradisional, antaranya ‘Joget Pahang’ dan ‘Joget Sayang Di Sayang’ sebelum semua peserta menyanyikan lagu ‘Dirgahayu Tuanku’ sebagai tanda ‘Sembah Tuanku’.

Sementara itu, Zainal ketika ditemui Bernama, berkata konsert berkenaan mula diperkenalkan pada 1997 sebagai tanda menjunjung kasih warga KPM kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Konsert itu diilhamkan sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang kaya dengan budaya warisan dan kesenian yang luhur serta beridentiti.

“Konsert ini juga merupakan platform kepada generasi muda untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka dalam seni persembahan yang merangkumi seni muzik, tarian, teater dan seni visual,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )