Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Kegiatan pengambilan untung dalam kalangan pelabur selepas ringgit ditutup pada paras tinggi tujuh bulan Jumaat lepas, menyaksikan mata wang tempatan dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini.

Pada masa sama, ringgit turut memantau pergerakan mata wang renminbi China.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1122/1180 berbanding 4.1100/1150 ketika ditutup Jumaat lepas.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata selain itu, sentimen juga kelihatan kurang bimbang mengenai Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang akan dikeluarkan daripada senarai pemantauan Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE (WGBI) bulan ini.

“Ringgit seharusnya didagang dengan baik kerana ia terus memantau renminbi China, sekali gus menyaksikan pemulihan ekonomi China kekal bebas daripada COVID-19.

“Eskport Malaysia ke China mungkin boleh terus meningkat dengan permintaan penggunaan runcit tanah besar itu bergerak seiring dengan pemacu perindustrian China,” kata beliau kepada Bernama.

Bagaimanapun, Innes mengingatkan bahawa walaupun ringgit masih terus menjadi mata wang kegemaran untuk dibeli dalam jangka masa panjang, ia boleh mendorong kegiatan pengambilan untung yang berterusan sekiranya risiko masih ada berikutan penularan COVID-19 di Eropah dan kebimbangan berlakunya penumpuan pasaran saham terhadap sektor teknologi.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia lega berbanding dolar Singapura kepada 3.0307/0362 daripada 3.0299/0347 pada Jumaat tetapi mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3267/3353 daripada 5.3340/3421 sebelumnya.

Mata wang tempatan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8764/8848 daripada 4.8712/8787 tetapi meningkat sedikit berbanding yen kepada 3.9368/9429 daripada 3.9398/9450 pada Jumaat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )