Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tetapi lebih tinggi daripada mata wang utama yang lain ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini.

Ini disokong terutama oleh permintaan bermusim terhadap minyak mentah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1380/1430 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1420 yang dicatatkan pada penutupan urus niaga petang Jumaat minggu lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata trend yang positif dipamerkan oleh ringgit berbanding mata wang utama yang lain kecuali dolar AS turut didorong oleh pemulihan ketara dalam pasaran bon minggu lalu selepas berita mengenai FTSE.

Malaysia akan terus berada dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WBGI) FTSE, katanya.

“Namun, saya rasa pelabur asing akan lambat sedikit untuk terbabit kembali dalam jangka masa yang lama kerana pasaran sudah mula menetapkan harga dalam dasar normalisasi bank pusat. Dalam kes Bank Negara Malaysia, kitaran pelonggaran sudah berakhir, ” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut disokong oleh data pembuatan tempatan yang semakin baik dengan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit (PMI) meningkat kepada 49.9 pada Mac daripada 47.7 pada Februari tahun ini.

Menurut IHS Markit, bacaan PMI untuk bulan Mac iaitu 49.9 adalah yang tertinggi sejak Julai 2020.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0754/0794 daripada 3.0780/0816 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7407/7456 daripada 3.7455/7494.

Berbanding pound Britain pula, ringgit meningkat kepada 5.7216/7298 daripada 5.7241/7309 dan naik kepada 4.8675/8751 daripada 4.8733/8797 berbanding euro.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )