Ringgit meningkat semula berbanding dolar US pada pembukaan

Ringgit meningkat semula berbanding dolar US pada pembukaan

KUALA LUMPUR,. Ringgit meningkat semula berbanding dolar US pada pembukaan hari ini berikutan sentimen positif susulan langkah kerajaan membenarkan perniagaan beroperasi dalam tempoh darurat di seluruh negara yang dijangka hingga 1 Ogos, 2021.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan diniagakan tinggi 120 mata asas (bps) kepada 4.0430/0480 berbanding dolar US daripada 4.0550/0600 semasa ditutup semalam.

Penganalisis berkata mereka yang dalam perkhidmatan, kerja-kerja, industri dan perniagaan perlu yang dibenarkan beroperasi di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berasa lega berikutan proklamasi itu tidak akan menjejaskan operasi perniagaan.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata selepas mengalami reaksi awal mengenai perisytiharan darurat untuk mengekang pandemik COVID-19, unit tempatan menjadi positif berikutan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini mendorong kepada penurunan bon dan kenaikan harga komoditi, terutamanya harga minyak.

“Pada amnya, sekatan pergerakan dilihat akan menghalang kemajuan dan membawa kepada risiko jangka pendek yang boleh mengehadkan pengukuhan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0555/0595 daripada 3.0535/0575 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 3.9003/9058 daripada 3.8927/8978.

Berbanding pound, mata wang tempatan merosot kepada 5.5260/5336 daripada 5.5156/5236 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.9357/9422 daripada 4.9313/9378.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )